Elridge Energy perkukuh kedudukan dalam industri biomassa serantau - Utusan Malaysia

Elridge Energy perkukuh kedudukan dalam industri biomassa serantau

YEO Hock Cheong (kiri) dan Salihudin Mohd. Razali (kanan) dalam Sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-2 di Petaling Jaya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Elridge Energy Holdings Berhad terus memperkukuh kedudukannya dalam industri bahan api biomassa serantau apabila meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan terpasang kepada kira-kira 1.44 juta tan metrik susulan peluasan operasi di beberapa lokasi strategik di Malaysia.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Yeo Hock Cheong berkata, pengembangan itu melibatkan kemudahan sedia ada syarikat di Telok Gong dan Kapar, Selangor serta pembukaan kemudahan pemprosesan tempurung isirung sawit (PKS) baharu di Kuantan, Pahang dan Pasir Gudang, Johor. 

Katanya, ini bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap sumber tenaga boleh baharu di rantau Asia Pasifik.

“Kami turut merancang pembangunan sebuah lagi kemudahan PKS di Lahad Datu, Sabah sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh rantaian bekalan dan kapasiti pengeluaran jangka panjang,” katanya katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-2 di sini hari ini.

Selain memperluaskan operasi domestik, Elridge Energy turut memeterai beberapa memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan niaga di Thailand dan Asia Barat selepas berakhirnya tahun kewangan 2026 bagi meneroka peluang pasaran baharu, mendapatkan perjanjian bekalan jangka panjang serta mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian bekalan bahan api biomassa serantau.

Langkah tersebut dijangka menyokong pertumbuhan berterusan kumpulan dalam sektor tenaga boleh baharu yang semakin mendapat perhatian sejajar agenda penyahkarbonan dan kelestarian global.

Pengarah Eksekutif dan Pengarah Kewangan Elridge Energy, Salihudin Mohd. Razali berkata, pihaknya kekal optimis terhadap prospek perniagaan bagi tahun kewangan 2026, disokong oleh peningkatan permintaan produk biomass, pengembangan kapasiti operasi serta pertumbuhan berterusan dalam pasaran Asia Pasifik.

Ujarnya, kadar penggunaan fasiliti kini berada sekitar 70 peratus namun dijangka meningkat berikutan pertambahan permintaan pelanggan. 

“Syarikat juga sedang mempercepatkan rancangan pembangunan kemudahan baharu di Kuantan yang bakal menyokong kapasiti pengeluaran pada masa hadapan.

“Projek pembangunan di Kuantan masih berada dalam peringkat perancangan dan rundingan berkaitan tanah serta kelulusan pembangunan. 

“Operasi dijangka dapat dimulakan seawal tahun hadapan sekiranya semua proses berjalan lancar,” katanya.

Dari segi pasaran, Elridge Energy berkata, perubahan komposisi jualan antara pasaran tempatan dan luar negara tidak semestinya mencerminkan perubahan permintaan sebenar. 

“Hai ini kerana sebahagian besar jualan direkodkan sebagai jualan tempatan apabila pembelian dibuat melalui syarikat atau pengedar yang berdaftar di Malaysia, walaupun pengguna akhir berada di luar negara seperti Jepun, Thailand atau Indonesia,” katanya.

Selain itu jelasnya, permintaan eksport kekal kukuh dan tidak menunjukkan penyusutan yang ketara. 

“Sebaliknya, perubahan dalam rekod jualan lebih dipengaruhi oleh struktur pembelian pelanggan serta penggunaan hab perdagangan serantau seperti Singapura dan Malaysia,” katanya. 

Mengenai impak ketegangan geopolitik global, termasuk konflik yang menjejaskan rantaian bekalan antarabangsa, operasi logistik syarikat tidak terkesan secara material kerana fokus pasaran tertumpu di rantau Asia Pasifik. 

“Walau bagaimanapun, syarikat mengakui terdapat sedikit kenaikan kos bekalan bahan mentah,” katanya.

Dalam pada itu, Salihudin berkata, harga bahan mentah biomass meningkat sekitar lima peratus hingga 10 peratus tahun ini, namun syarikat mempunyai fleksibiliti untuk menyesuaikan harga jualan kepada pelanggan melalui semakan berkala. 

“Model perniagaan yang bertindak sebagai penghubung antara pembekal dan pelanggan membolehkan syarikat mengekalkan margin keuntungan yang sihat.

“Margin kami kekal sihat dan kami akan terus menguruskan harga serta bekalan secara berhati-hati untuk memastikan keuntungan dapat dikekalkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN