KUALA LUMPUR: Pengendali pusat data global, Digital Realty menyasarkan Malaysia sebagai hab utama bagi perkhidmatan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan infrastruktur digital berhubung, susulan pengambilalihan kemudahan KUL10 serta pelan pengembangan kampus pusat data berkapasiti 32 megawatt (MW).
Pengarah Urusan dan Ketua Asia Pasifik Digital Realty, Serene Nah berkata, syarikat itu menjangkakan 2026 sebagai tahun ‘AI inference’ iaitu fasa di mana penggunaan model AI untuk membuat keputusan dan menjalankan aplikasi sebenar menjadi lebih penting berbanding latihan model AI berskala besar.
Katanya, trend industri kini menunjukkan keperluan pelanggan beralih daripada kapasiti tenaga yang sangat besar untuk melatih model AI kepada infrastruktur yang menawarkan kependaman rendah, sambungan rangkaian yang meluas dan akses kepada pelbagai penyedia awan.
“Selepas model AI dilatih, keutamaan pelanggan adalah menggunakan data tersebut untuk membuat keputusan dengan pantas.
“Ini memerlukan infrastruktur yang sangat berhubung dan sensitif kepada kependaman, bukan semata-mata kapasiti tenaga yang besar,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya melihat peningkatan permintaan bagi penyelesaian AI persendirian, khususnya dalam sektor perkhidmatan kewangan dan perusahaan yang ingin mengekalkan data pelanggan dalam persekitaran tersendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada platform awan awam.
“Pelanggan korporat kini semakin berminat untuk membangunkan persekitaran AI mereka sendiri dengan sokongan sambungan kepada model bahasa besar (LLM), pelbagai penyedia awan serta rangkaian telekomunikasi global,” katanya.
Dalam aspek kelestarian, Digital Realty berkata kira-kira 93 peratus daripada operasi tenaga globalnya kini disokong oleh sumber tenaga boleh diperbaharui.
“Walau bagaimanapun, kemudahan KUL10 dan KUL11 di Malaysia masih belum termasuk dalam liputan tersebut kerana syarikat baru memulakan integrasi operasi tempatan.
“Bagi pembangunan pusat data baharu di Malaysia, syarikat itu berkata reka bentuk kemudahan akan mengambil kira penggunaan tenaga boleh diperbaharui, namun tahap penggunaan sebenar masih tertakluk kepada reka bentuk akhir dan perbincangan dengan pihak berkuasa,” katanya.
Selain tenaga hijau, Digital Realty bercadang memperkenalkan teknologi penjimatan sumber yang telah digunakan di negara lain, termasuk sistem penyahgaraman air dan kitaran air tertutup yang kini digunakan di Singapura, serta penyelesaian operasi lestari yang dibangunkan di Jepun dan Australia.
“Kami turut merancang pemasangan panel solar bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan grid utama, khususnya untuk operasi kawasan umum di pusat data,” katanya.
Mengenai pengembangan kapasiti, Digital Realty mengesahkan kemudahan KUL10 akan dinaik taraf hampir dua kali ganda daripada kapasiti semasa sekitar 1.5MW kepada hampir 3MW.
“KUL10 akan berfungsi sebagai ‘carrier hotel’, iaitu hab sambungan telekomunikasi berketumpatan tinggi yang menempatkan lebih 40 syarikat telekomunikasi dan penyedia rangkaian,” katanya.
Sementara itu, KUL11 akan menjadi tapak pengembangan yang menyokong beban kerja AI dan pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC), manakala tapak ketiga yang sedang dirancang akan membentuk kampus pusat data berhubung yang lebih besar. – UTUSAN










