PETALING JAYA: Cef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan tidak menolak kemungkinan untuk membuka restoran masakan Melayu di atas kapal persiaran pada masa hadapan, susulan sambutan menggalakkan terhadap program kolaborasinya bersama syarikat pelayaran, StarDream Cruises.
Beliau berkata, idea tersebut sememangnya berada dalam pertimbangannya memandangkan pasaran halal yang semakin berkembang serta potensi besar industri pelayaran yang menarik ribuan pelancong dari pelbagai negara.
“Mungkin, tidak mustahil. Kita tidak pernah tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.
“Bayangkan jika terdapat restoran Jepun, restoran Cina dan pelbagai konsep lain di atas kapal, mengapa tidak sebuah restoran Melayu?,” katanya kepada pemberita sempena pelayaran bertemakan kulinari bersama Chef Wan di atas kapal persiaran Star Voyager baru-baru ini.
Beliau berkata, restoran berkonsepkan masakan Melayu dan halal berpotensi menarik bukan sahaja pelancong Malaysia, malah pelawat dari negara-negara Islam seperti Arab Saudi, Turki dan negara Asia Barat yang memilih Malaysia sebagai destinasi percutian sebelum meneruskan pelayaran ke negara jiran.
Pelayaran tiga malam dari Pelabuhan Klang ke Phuket dan Pulau Pinang itu dianjurkan dengan kerjasama restoran De.Wan 1958.
Kolaborasi ini menawarkan pengalaman gastronomi eksklusif di laut termasuk demonstrasi masakan secara langsung, sesi santai bersama Chef Wan serta hidangan istimewa ciptaan beliau.
Malam terakhir pelayaran menjadi antara kenangan paling istimewa apabila ramai tetamu beratur panjang di restoran The Lido di atas kapal untuk menikmati hidangan khas Datuk Chef
Wan selepas sesi demonstrasi masakan beliau.
Restoran tersebut turut menyediakan seksyen halal yang diperakui bagi memberi keselesaan kepada tetamu beragama Islam.
Sementara itu, Presiden StarDream Cruises, Michael Goh berkata, pihaknya berbesar hati dapat mengalu-alukan Chef Wan sekali lagi untuk pelayaran khas musim cuti sekolah dari Pelabuhan Klang ini.
“Pengalaman kulinari kini menjadi elemen penting dalam dunia pelancongan dan kerjasama ini mencerminkan komitmen syarikat dalam mencipta percutian yang lebih imersif dan bermakna, yang menyatukan tetamu melalui makanan, budaya dan pengalaman yang dikongsi bersama,” jelasnya.
Selepas kejayaan ini, Star Voyager akan meneruskan pelayaran dari Singapore Cruise Centre di Singapura bermula 31 Mei hingga 26 Jun 2026 dengan pelbagai pilihan destinasi menarik.
Tambahnya, ini termasuk pelayaran dua malam ke Pulau Pangkor atau Pulau Tioman, pelayaran tiga malam ke Pulau Pinang serta pelayaran lima malam ke Vietnam meliputi Nha Trang dan Ho Chi Minh City.
Pelayaran dari Singapura ini akan terus mengetengahkan gabungan istimewa StarCruises merangkumi sajian kulinari, hiburan dan aktiviti mesra keluarga, menawarkan percutian laut yang penuh kenangan kepada para tetamu di seluruh rantau ini. – UTUSAN










