KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan duti tambahan sebanyak 10 peratus ke atas import dari Malaysia, sementara menunggu hasil siasatan dan proses perundingan yang sedang berlangsung di negara itu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, masih terlalu awal untuk menilai implikasi cadangan tersebut kerana proses semakan masih belum dimuktamadkan.
“Masih terlalu awal. Siasatan masih berjalan dan tempoh perundingan serta maklum balas awam juga masih berlangsung.
“Jadi, kita akan memantau dan melihat perkembangan seterusnya selepas semua proses ini selesai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di sini, hari ini.
Menurut beliau, adalah penting bagi Malaysia memahami asas dan pertimbangan yang digunakan oleh AS dalam mencadangkan tindakan berkenaan.
“Saya fikir penting untuk kita memahami asas serta bagaimana AS membuat keputusan tersebut,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa cadangan tarif itu belum merupakan keputusan muktamad dan masih tertakluk kepada proses perundingan awam di AS.
Menurut kementerian itu, kadar tarif yang dicadangkan ke atas Malaysia adalah yang terendah dalam kalangan negara yang disiasat, sekali gus mencerminkan pengiktirafan Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) terhadap komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balik untuk melaksanakan larangan ke atas import yang dikaitkan dengan buruh paksa.
MITI berkata, dapatan USTR berkaitan ketiadaan undang-undang khusus yang melarang kemasukan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa ke Malaysia, dan bukannya satu penemuan bahawa Malaysia mengamalkan buruh paksa.
Kementerian itu menegaskan bahawa Malaysia telah mempunyai rangka kerja perundangan yang komprehensif bagi menangani isu buruh paksa, termasuk undang-undang berkaitan pemerdagangan manusia, piawaian pekerjaan dan kebajikan pekerja.
Menurut MITI, kerajaan akan terus berunding dengan pihak berkuasa AS bagi melindungi kepentingan perdagangan negara.
Pada Selasa, USTR mencadangkan pengenaan duti tambahan sebanyak 10 peratus ke atas import dari 15 ekonomi, termasuk Malaysia, susulan siasatan di bawah Seksyen 301 berkaitan perdagangan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
USTR menyatakan bahawa kegagalan ekonomi yang terlibat menangani isu import berkaitan buruh paksa secara mencukupi dianggap tidak munasabah dan menyekat perdagangan AS.
Antara ekonomi lain yang turut berdepan cadangan duti 10 peratus itu ialah Kanada, Kesatuan Eropah (EU), Indonesia, Mexico, Pakistan, Bangladesh, Kemboja, Taiwan dan United Kingdom.
Sementara itu, baki 45 ekonomi yang disiasat dicadangkan dikenakan duti sebanyak 12.5 peratus.
USTR akan menerima maklum balas awam berhubung cadangan tersebut sehingga 6 Julai, sebelum mengadakan pendengaran awam pada 7 Julai bagi membuat keputusan muktamad.
Beberapa kategori produk bagaimanapun dikecualikan daripada cadangan tarif berkenaan, termasuk produk tenaga, bahan nadir bumi, logam tertentu, produk farmaseutikal, bahan kimia organik dan komponen pesawat. – UTUSAN










