BYD ATTO 3 Premium Facelift 2026 cabar pesaing SUV elektrik 

BYD ATTO 3 Premium Facelift 2026 cabar pesaing SUV elektrik 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BYD ATTO 3 merupakan antara SUV elektrik yang paling mendapat sambutan di Malaysia sejak diperkenalkan beberapa tahun lalu. Bagi model facelift 2026, BYD tidak mengubah identiti asas model ini. 

Sebaliknya, pengeluar itu memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar diinginkan pengguna iaitu prestasi lebih baik, jarak pemanduan lebih jauh, pengecasan lebih pantas dan teknologi yang dipertingkatkan.

Menariknya, Malaysia dipilih sebagai pasaran pertama di rantau ASEAN dan Asia Pasifik yang menerima BYD ATTO 3 Facelift 2026. 

Varian Premium yang dipasarkan di Malaysia turut menggunakan spesifikasi asas yang sama seperti BYD ATTO 3 Evo RWD untuk pasaran Eropah, termasuk sistem pacuan roda belakang (RWD), motor elektrik 230 kW (308 hp), bateri 74.88 kWh dan pengecasan pantas DC sehingga 220 kW.

Boleh dikatakan, ATTO 3 Premium merupakan varian berprestasi tinggi dalam barisan model ATTO 3. 

Dengan motor elektrik lebih berkuasa, sistem pacuan roda belakang (RWD), bateri lebih besar dan pengecasan lebih pantas, ia menawarkan peningkatan yang benar-benar dirasai berbanding varian Ultra. Di Malaysia, SUV elektrik ini bakal bersaing dengan PROTON e.MAS 7 Premium Plus, ICAUR 03, MG S5 EV dan Leapmotor C10.

Prestasi lebih bertenaga dengan pacuan roda belakang

Perubahan paling besar pada ATTO 3 Premium ialah penggunaan motor elektrik baharu yang menghasilkan 230 kW (308 hp) dan 380 Nm tork. Berbeza dengan model terdahulu yang menggunakan pacuan roda hadapan, varian Premium kini menggunakan sistem pacuan roda belakang (RWD).

Perubahan ini memberikan karakter pemanduan yang lebih menyeronokkan. Pecutan terasa lebih lancar ketika keluar dari selekoh, manakala agihan kuasa juga lebih seimbang ketika memecut di lebuh raya.

Dengan catatan 0 hingga 100 km/j dalam hanya 5.5 saat, prestasinya sememangnya lebih daripada mencukupi untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jauh. Setiap kali pedal pendikit ditekan, pecutan yang dihasilkan benar-benar mengujakan dan memberikan rasa seolah-olah memandu sebuah model berprestasi tinggi.

Jarak pemanduan bukan lagi kebimbangan

Satu lagi peningkatan ketara ialah penggunaan bateri BYD Blade Battery berkapasiti 74.88 kWh.

Mengikut kiraan WLTP, ATTO 3 Premium mampu bergerak sehingga 510 km dengan sekali cas atau sehingga 600 km berdasarkan kiraan NEDC. Angka ini memberi keyakinan kepada pemilik yang kerap melakukan perjalanan antara negeri tanpa perlu terlalu risau mengenai baki tenaga bateri.

Lebih menarik, pengecasan pantas DC kini menyokong kuasa sehingga 220 kW, manakala pengecasan AC meningkat kepada 11 kW. Ini membolehkan masa pengecasan dipendekkan dengan ketara apabila menggunakan fasiliti pengecas pantas yang sesuai.

 

Keselesaan masih menjadi keutamaan

Walaupun lebih berorientasikan prestasi, ATTO 3 Premium masih mengekalkan karakter sebuah SUV keluarga yang selesa.

Suspensinya berjaya menyerap permukaan jalan yang tidak rata dengan baik, manakala kedudukan pemanduan yang tinggi memberikan pandangan luas ke hadapan. 

Stereng pula terasa ringan ketika dipandu di bandar dan menjadi lebih mantap apabila kelajuan meningkat.

Secara keseluruhan, talaan casis memberikan keseimbangan antara keselesaan dan pengendalian tanpa mengorbankan mana-mana aspek.

 

Kabin moden dan lebih praktikal

Reka bentuk kabin masih mengekalkan identiti unik BYD yang membezakan ATTO 3 daripada pesaingnya.

Skrin infotainmen berputar bersaiz 15.6 inci menjadi tarikan utama, dipadankan dengan paparan meter digital 8.8 inci, sistem audio Dirac HD Sound dengan lapan pembesar suara, di samping sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara berwayar mahupun tanpa wayar.

Bagi pemandu yang kurang biasa menggunakan kawalan skrin sentuh, proses mengendalikan sistem infotainmen mungkin memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri. Namun, BYD menyediakan beberapa butang pintasan (shortcut) bagi memudahkan akses kepada fungsi penting seperti kawalan pendingin hawa tanpa perlu menyelak menu pada skrin. 

Turut melengkapkan ruang kabin ialah pengecas telefon tanpa wayar 50 W, pendingin hawa automatik dua zon, bumbung panoramik dengan sunroof elektrik dan pintu belakang berkuasa. Semua ciri ini menjadikan pengalaman berada di dalam kabin lebih selesa terutama ketika perjalanan jauh.

Bagaimanapun, pada pandangan penulis, rekaan panel pintu yang diinspirasikan daripada tali gitar masih menjadi satu elemen yang agak sukar untuk diterima. Walaupun ia memberikan identiti tersendiri kepada ATTO 3, reka bentuk tersebut kelihatan sedikit terlalu unik dan mungkin tidak menepati cita rasa semua pembeli, terutama mereka yang lebih menggemari konsep kabin yang ringkas dan premium.

 

Sistem keselamatan semakin lengkap

ATTO 3 Premium turut menerima penambahan beberapa fungsi ADAS berbanding varian Ultra.

Antara ciri yang disediakan ialah Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, Blind Spot Detection, Lane Keeping Assist, Rear Cross Traffic Alert, Rear Cross Traffic Brake, Front Cross Traffic Alert, Front Cross Traffic Brake, Traffic Sign Recognition, Intelligent Speed Limit Control, Traffic Jam Assist dan kamera 360 darjah.

Kehadiran fungsi-fungsi ini bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan, malah membantu mengurangkan beban pemandu ketika memandu di lebuh raya atau dalam kesesakan lalu lintas.

Spesifikasi Ringkas BYD ATTO 3 Premium Facelift 2026

  • Kuasa maksimum: 230 kW (308 hp)
  • Tork maksimum: 380 Nm
  • Sistem pacuan: Pacuan roda belakang (RWD)
  • Bateri: BYD Blade Battery 74.88 kWh
  • Jarak pemanduan: 510 km (WLTP) / 600 km (NEDC)
  • Pecutan 0-100 km/j: 5.5 saat
  • Pengecasan AC: Sehingga 11 kW
  • Pengecasan DC: Sehingga 220 kW
  • Rim: Aloi 18 inci
  • Tayar: 235/50 R18
  • Skrin infotainmen: 15.6 inci berputar
  • Paparan meter digital: 8.8 inci
  • Sistem audio: Dirac HD Sound dengan lapan pembesar suara
  • Apple CarPlay dan Android Auto: Berwayar dan tanpa wayar
  • Pengecas telefon tanpa wayar: 50 W
  • Pendingin hawa: Automatik dua zon
  • Bumbung: Panoramik dengan sunroof elektrik
  • Pintu belakang: Berkuasa

Berbaloi dimiliki?

BYD berjaya memperbaiki hampir semua aspek penting pada ATTO 3 menerusi model facelift ini. Penambahan kuasa kepada 308 hp, penggunaan sistem pacuan roda belakang, jarak pemanduan sehingga 510 km mengikut kiraan WLTP dan pengecasan pantas DC 220 kW menjadikan SUV elektrik ini lebih menyeronokkan untuk dipandu, selain lebih praktikal digunakan setiap hari.

Jika anda sedang mencari sebuah SUV elektrik keluarga yang menawarkan prestasi, teknologi, keselesaan dan jarak pemanduan yang meyakinkan, BYD ATTO 3 Premium Facelift 2026 sememangnya antara pilihan terbaik dalam kelasnya.

Ia wajar dipertimbangkan bersama Proton e.MAS 7 Premium Plus, ICAUR 03, MG S5 EV dan Leapmotor C10. 

Bagi mereka yang lebih cenderung kepada jenama Jepun, Toyota bZ4X dan Suzuki e VITARA turut menawarkan alternatif dalam segmen SUV elektrik.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN