PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka bergerak dalam lingkungan 1,650 hingga 1,670 mata pada minggu hadapan apabila sentimen pelabur masih dipengaruhi oleh aktiviti pengambilan untung, ketiadaan pemangkin baharu serta kebimbangan terhadap perkembangan ekonomi global yang belum menunjukkan pemulihan yang kukuh.
Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya tekanan jualan yang lebih ketara sekiranya sentimen luaran terus melemah.
Menurut beliau, pergerakan pasaran pada minggu ini menunjukkan pelabur masih mengambil pendekatan berhati-hati walaupun terdapat beberapa kaunter terpilih yang mencatatkan kenaikan.
“Peningkatan tersebut bagaimanapun dilihat tidak cukup kuat untuk mengubah sentimen keseluruhan pasaran.
“Sebahagian besar tekanan datang daripada pelabur runcit yang mengambil kesempatan menjual pegangan mereka bagi merealisasikan keuntungan jangka pendek selepas beberapa kaunter mencatatkan peningkatan harga minggu lalu. Aktiviti pengambilan untung ini dijangka berterusan dan boleh memberi tekanan kepada indeks utama Bursa Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pasaran ketika ini kekurangan pemangkin baharu yang mampu menarik minat pelabur untuk kembali melakukan pembelian secara agresif.
“Tanpa sebarang pengumuman dasar ekonomi yang signifikan atau perkembangan positif daripada pasaran global, kebanyakan pelabur dijangka terus mengambil pendekatan tunggu dan lihat,” katanya.
Mohd. Rizal berkata, walaupun pasaran tempatan masih disokong oleh faktor asas ekonomi yang stabil, sentimen jangka pendek lebih banyak dipengaruhi oleh faktor luaran termasuk perkembangan ekonomi negara-negara utama serta ketegangan geopolitik di beberapa rantau dunia.
Sementara itu, Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, pasaran saham berpotensi bergerak dalam julat yang lebih luas, iaitu antara 1,640 hingga 1,680 mata sepanjang minggu hadapan.
Katanya, penurunan harga minyak mentah dunia sejak beberapa hari lalu memberi kesan bercampur kepada pasaran.
“Bagi negara pengimport minyak, harga yang lebih rendah boleh membantu mengurangkan kos dan tekanan inflasi. Namun bagi Malaysia yang mempunyai kaitan rapat dengan sektor tenaga dan komoditi, kelemahan harga minyak boleh memberi kesan kepada sentimen pelabur terhadap saham-saham berkaitan.
“Pergerakan harga minyak masih menjadi salah satu faktor utama yang diperhatikan oleh pasaran. Kejatuhan harga minyak kebelakangan ini menyebabkan pelabur lebih berhati-hati terhadap sektor berkaitan tenaga yang sebelum ini menjadi antara penyumbang utama kepada prestasi pasaran,” katanya.
Beliau berkata, prospek ekonomi global masih belum benar-benar pulih walaupun beberapa negara menunjukkan pertumbuhan yang sederhana.
“Ketidaktentuan dalam perdagangan antarabangsa, kadar faedah yang masih tinggi di beberapa ekonomi utama serta kebimbangan terhadap pertumbuhan global terus menjadi faktor yang mengehadkan keyakinan pelabur,” katanya.
Pada masa yang sama, perkembangan rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran turut menjadi perhatian pelabur antarabangsa.
Menurut beliau, hala tuju rundingan tersebut masih kabur dan belum memberikan sebarang kepastian kepada pasaran.
“Pasaran masih menunggu perkembangan lanjut mengenai hubungan antara Amerika Syarikat dan Iran. Sekiranya rundingan tidak mencapai kemajuan yang diharapkan atau Iran enggan mematuhi sebarang memorandum persefahaman yang dicadangkan, ketidaktentuan geopolitik boleh kembali meningkat dan memberi kesan kepada sentimen pelaburan global,” katanya.
Dalam keadaan semasa, pelabur dinasihatkan supaya lebih selektif dalam membuat keputusan pelaburan serta memberi tumpuan kepada syarikat yang mempunyai asas perniagaan kukuh dan prospek pendapatan yang stabil.
Secara keseluruhannya, Bursa Malaysia dijangka meneruskan dagangan dalam suasana berhati-hati minggu hadapan dengan kecenderungan ke arah penurunan sederhana.
Aktiviti pengambilan untung oleh pelabur runcit, ketiadaan pemangkin baharu, kelemahan harga minyak mentah serta ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global dijangka terus mempengaruhi hala tuju pasaran dalam tempoh terdekat.-UTUSAN










