BERMULA dengan cabaran hidup yang berbeza, dua wanita cekal berjaya mengubah kesukaran menjadi peluang apabila membangunkan perniagaan makanan dan bakeri dari rumah sehingga mampu menjana pendapatan, membantu keluarga serta membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
Bagi Nur Sharzi Bashar, 43 dari Lembah Subang berkata, perjalanan keusahawanannya bermula pada 2018 melalui perniagaan katering kecil-kecilan dan pembekalan makanan laut seperti ketam, udang dan sotong.
Katanya, perniagaan itu dijalankan dari rumah bagi membantu menambah pendapatan keluarga sambil menjaga anak yang mempunyai masalah kesihatan.
“Pada peringkat awal, saya hanya menerima tempahan makanan untuk majlis kecil, pejabat dan komuniti sekitar kawasan kediamannya. Walaupun keuntungan tidak besar, usaha tersebut menjadi asas penting dalam membina keyakinan untuk mengembangkan perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi Nur Sharzi, penyertaannya dalam program Kuih Raya Dari Hati bersama Cadbury tiga tahun lalu menjadi titik perubahan penting apabila beliau menerima tempahan penghasilan kuih raya berskala besar buat pertama kali.
Katanya, selain membuka peluang perniagaan baharu, program itu turut menyediakan latihan dan bimbingan yang membantu meningkatkan kemahiran serta keyakinannya dalam menguruskan tempahan berskala besar.
“Walaupun berdepan kekurangan peralatan dan pengalaman, saya memberanikan diri menerima cabaran tersebut.
“Dengan bantuan lima wanita daripada komuniti setempat pada peringkat awal, kami berjaya menyiapkan tempahan dalam tempoh dua minggu. Jumlah pekerja kemudiannya meningkat kepada 10 orang dan kini seramai 15 wanita terlibat secara aktif dalam penghasilan kuih raya setiap tahun,” katanya.
Dia berkata, peluang untuk memasarkan produk melalui platform e-dagang menerusi program tersebut turut membantu meningkatkan keterlihatan perniagaan dan memperluaskan capaian kepada pelanggan baharu.
Bagi Nur Sharzi, perubahan paling besar adalah apabila dia berjaya keluar daripada status penerima asnaf selepas pendapatan keluarga semakin stabil.
“Saya merasakan itu detik yang memberikan kepuasan yang sukar digambarkan kerana akhirnya mampu berdikari dan menyara keluarga dengan hasil usaha sendiri.
“Pendapatan yang diperoleh juga membolehkan beliau membeli sebuah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan untuk urusan perniagaan serta memudahkan pergerakan keluarga, termasuk membawa anak mendapatkan rawatan kesihatan,” katanya.
Sementara itu, Sarasvathy Periyasamy, 48 dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Besi memulakan perjalanan perniagaan selepas terpaksa berhenti kerja sebagai setiausaha di sebuah firma guaman bagi menjaga anak yang menghidap bronkitis dan pneumonia.
Katanya, dengan mempunyai empat orang anak yang masih kecil ketika itu, dia mula mencari sumber pendapatan yang boleh diusahakan dari rumah.
“Minat terhadap bidang bakeri mendorong saya menghasilkan kek secara kecil-kecilan. Anak-anak menjadi penguji rasa pertama sebelum beliau mula menawarkan hasil bakerinya kepada rakan-rakan dan jiran tetangga.
“Malah, saya menerima maklum balas positif yang membuka peluang baharu apabila tempahan semakin meningkat. Dari situ, saya mula mendalami ilmu pembuatan kek dengan menghadiri kelas serta mempelajari pelbagai teknik secara dalam talian seperti Youtube bagi meningkatkan kemahiran,” katanya.
Sarasvathy turut membentuk pasukan sendiri yang terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal dan wanita yang tidak dapat bekerja di luar kerana komitmen keluarga.
“Baginya, kejayaan hanya bermakna apabila dapat dikongsi bersama mereka yang memerlukan,” katanya.
Menurutnya, setiap ahli pasukan dianggap sebagai rakan seperjuangan tanpa mengira kedudukan.
“Keuntungan yang diperoleh dikongsi secara adil bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat daripada usaha yang dilakukan bersama.
“Sepanjang projek berlangsung, pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi termasuk kekangan ruang, penggunaan oven domestik yang terhad, kos bahan mentah yang meningkat serta keperluan bekerja dalam tempoh yang singkat sepanjang bulan Ramadan,” katanya.
Namun, ujarnya, kesungguhan dan kerjasama pasukan membolehkan mereka memenuhi sasaran pengeluaran yang ditetapkan.
“Malah, salah satu projek berjaya menghasilkan sehingga 150,000 keping kuih raya dalam tempoh dua minggu, satu pencapaian yang amat membanggakan.
“Selama ini, pihak Cadbury dan MyKasih banyak membantu bukan sekadar mendorong semangat kami, malah melengkapkan kami dengan latihan dan pensijilan keselamatan makanan, pengurusan perniagaan, pemasaran digital dan keyakinan diri. Pendedahan menyeluruh ini membolehkan kami mengembangkan perniagaan demi menyediakan kehidupan dan pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak.”, katanya.
“Anak sulung saya kini sedang mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di sebuah universiti swasta dan menjadi antara motivasi terbesar untuk terus berusaha,” katanya.
Kedua-dua wanita ini percaya kejayaan tidak datang dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan keberanian untuk mencuba, kesediaan menerima kritikan dan kesungguhan untuk terus belajar.
Semua ini tidak akan tercapai jika mereka tidak sanggup menyahut cabaran daripada Cadbury sejak mula lagi.
Kini, mereka berharap lebih ramai wanita berani memulakan langkah pertama dalam bidang keusahawanan tanpa mengira latar belakang atau cabaran yang dihadapi.
“Jangan takut untuk mencuba. Mulakan dengan apa yang ada dan teruskan belajar. Jika kita berusaha dengan ikhlas dan tidak mudah berputus asa, peluang untuk berjaya sentiasa terbuka,” katanya. – UTUSAN









