KUALA LUMPUR: Kumpulan Berjaya Hospitaliti menyasarkan peningkatan prestasi operasi hotel sebanyak 10 hingga 15 peratus menerusi pertumbuhan kadar penghunian bilik dan pengukuhan hasil daripada pelbagai perkhidmatan hospitaliti sejajar Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Property Berhad, Syed Ali Shahul Hameed berkata, perkembangan positif sektor pelancongan domestik dan antarabangsa dijangka menjadi pemangkin utama kepada peningkatan permintaan terhadap penginapan serta perkhidmatan berkaitan.
“Sasaran tersebut diyakini mampu meningkatkan keuntungan operasi melalui penggunaan aset hotel yang lebih optimum dan peningkatan hasil keseluruhan.
“Bagi memastikan sasaran ekonomi tercapai, Kumpulan Berjaya Hospitaliti terus menitikberatkan strategi kawalan kos yang berkesan.
“Langkah tersebut merangkumi pengurusan kos yang berhemah, kecekapan penggunaan tenaga, pengoptimuman sumber manusia serta penerapan teknologi dalam operasi harian hotel,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, pendekatan ini membolehkan kumpulan mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi sambil meningkatkan margin keuntungan dalam persekitaran industri yang semakin kompetitif.
“Kadar penghunian bilik dilihat sebagai faktor utama yang mempengaruhi prestasi kewangan hotel. Peningkatan jumlah bilik yang ditempah bukan sahaja menyumbang kepada hasil penginapan, malah turut meningkatkan pendapatan daripada segmen makanan dan minuman, acara korporat, persidangan serta kemudahan rekreasi,” katanya.
Dalam usaha mengekalkan daya saing, kumpulan turut mengamalkan strategi harga yang fleksibel berdasarkan permintaan pasaran dan musim pelancongan.
“Pada musim puncak, kadar bilik akan diselaraskan bagi memaksimumkan hasil, manakala semasa musim rendah pelbagai pakej promosi dan tawaran nilai tambah diperkenalkan bagi menarik lebih ramai pelanggan.
“Selain hasil daripada penginapan, perkhidmatan tambahan seperti restoran, spa, kemudahan rekreasi serta ruang mesyuarat dan persidangan terus menjadi sumber pendapatan penting kepada hotel-hotel di bawah rangkaian Berjaya.
“Kemudahan ini membolehkan kumpulan menganjurkan pelbagai acara korporat, majlis perkahwinan, pelancaran produk dan program sosial berskala besar,” katanya.
Sementara itu, ujar beliau, usaha memperluaskan pasaran dan menarik lebih ramai pelanggan antarabangsa turut menjadi fokus utama kumpulan.
“Dengan rangkaian hotel yang terletak di destinasi strategik seperti kawasan tanah tinggi, pantai dan pusat bandar, Berjaya Hospitaliti berada dalam kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan pelbagai segmen pelancong.
“Kepelbagaian lokasi hotel di bawah kumpulan memberikan kelebihan dalam menarik pelancong untuk tujuan percutian, perjalanan perniagaan serta penganjuran acara dan persidangan antarabangsa.
“Kemudahan dewan persidangan yang lengkap serta pakej acara yang kompetitif membuka peluang kepada hotel-hotel di bawah kumpulan untuk menjadi pilihan utama pelanggan,” katanya.
Beliau menambah, kehadiran hotel-hotel tersebut bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan negara, malah turut merangsang aktiviti ekonomi dalam sektor berkaitan seperti pengangkutan, peruncitan serta makanan dan minuman. – UTUSAN











