PETALING JAYA:Bank Muamalat Malaysia Berhad memperkenalkan dua inisiatif baharu iaitu M-Zahra Takaful MyLadies dan Kalkulator Faraid Digital bagi memperkukuh akses kepada solusi kewangan Islam yang lebih inklusif, selain meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan kewangan dan perancangan legasi.
Kedua-dua inisiatif itu dilancarkan sempena Karnival Celik Kewangan Terengganu 2026 sebagai sebahagian daripada usaha bank memperluaskan penawaran produk dan perkhidmatan patuh Syariah yang memenuhi keperluan semasa masyarakat.
M-Zahra Takaful MyLadies merupakan pelan perlindungan Takaful yang direka khusus untuk wanita dengan menawarkan manfaat perlindungan kewangan, perubatan, simpanan serta perancangan legasi mengikut keperluan pada setiap fasa kehidupan.
Pelan itu menyediakan lima pilihan pakej iaitu Safiya, Amara, Rifa’ah, Namaa dan Maryam dengan sumbangan bermula serendah RM50 sebulan bagi membolehkan lebih ramai wanita mendapatkan perlindungan kewangan yang sesuai.
Sebagai simbolik pelancarannya, Bank Muamalat turut menyampaikan sumbangan kepada empat persatuan ibu tunggal di Terengganu sebagai sokongan terhadap usaha memperkasa golongan wanita.
Pada masa sama, bank itu turut melancarkan Kalkulator Faraid Digital yang dibangunkan bersama As-Salihin Trustee Berhad bagi membantu masyarakat Islam membuat pengiraan awal pembahagian harta pusaka secara mudah, cepat dan tepat mengikut prinsip faraid dan hukum Syariah.
Platform digital itu diharap dapat meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai pengurusan pewarisan harta serta menggalakkan perancangan legasi dilakukan lebih awal secara tersusun.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin berkata, wanita kini memainkan peranan semakin besar bukan sahaja dalam institusi keluarga, malah sebagai penyumbang kepada ekonomi dan pembuat keputusan kewangan.
“Di Bank Muamalat, kami percaya setiap wanita berhak mendapat perlindungan kewangan yang menyokong aspirasi, kesejahteraan dan jaminan masa depan mereka.
“M-Zahra Takaful MyLadies dibangunkan bukan sekadar sebagai produk perlindungan, tetapi sebagai solusi menyeluruh yang memahami perjalanan hidup dan keperluan wanita masa kini,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pelancaran Kalkulator Faraid Digital pula mencerminkan komitmen bank dalam memperkukuh literasi kewangan Islam menerusi penyediaan solusi digital patuh syariah yang lebih mudah diakses.
“Perancangan harta yang baik bukan sahaja membantu memastikan pengagihan harta dilaksanakan secara adil menurut Syariah, malah memelihara keharmonian keluarga dan memberi ketenangan kepada waris pada masa hadapan,” katanya.
Menurut beliau, kedua-dua inisiatif itu juga sejajar dengan komitmen Bank Muamalat dalam memperkukuh keterangkuman kewangan dan memperluaskan akses kepada penyelesaian kewangan Islam yang praktikal serta relevan kepada masyarakat.
Sepanjang Karnival Celik Kewangan Terengganu 2026, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai program literasi kewangan, sesi konsultasi serta aktiviti berkaitan perlindungan kewangan, pengurusan kekayaan dan perancangan kewangan Islam.-UTUSAN










