PRODUK snek berasaskan tempe keluaran Adia Global (M) Sdn. Bhd. bukan sahaja mendapat tempat dalam pasaran tempatan, malah berjaya menarik minat pasaran Jepun, China dan Amerika Syarikat (AS), sekali gus mengangkat nama usahawan wanita Perlis, Norhaidah Samlee ke persada antarabangsa.
Ketika ini, syarikat itu memberi tumpuan kepada produk sedia untuk dimakan bagi pasaran tempatan serta Tempeh Chips untuk pasaran antarabangsa dengan menyasarkan jualan mencecah RM2 juta pada peringkat pertama bermula pertengahan 2026 hingga 2027.
Norhaidah berkata, Tempeh Chips keluaran syarikat itu yang diperkenalkan dalam kategori snek sihat mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan luar negara sehingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
“Produk kami ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelanggan luar negara dan membuka peluang lebih luas untuk syarikat berkembang di pasaran global.
“Persediaan yang rapi termasuk mendapatkan pensijilan Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) menjadi antara faktor penting yang membantu kami memenuhi keperluan eksport dan meningkatkan keyakinan pelanggan luar negara terhadap produk keluaran Adia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, kejayaan tersebut bukan sesuatu yang datang dengan mudah kerana syarikat yang ditubuhkan pada 2019 itu terpaksa mengharungi pelbagai cabaran.
“Banyak cabaran saya tempuhi termasuk kekangan modal, kekurangan pengalaman membangunkan kilang serta pandemik Covid-19 yang melanda ketika operasi awal syarikat sedang dibangunkan.
“Pada awalnya Adia hanya bermula dari dapur sebuah restoran di Kangar, Perlis.
“Memandangkan menu-menu yang saya hasilkan sentiasa mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan, timbul permintaan supaya makanan tersebut boleh dibawa pulang dan dinikmati di rumah.
“Dari situlah tercetus idea untuk menghasilkan produk makanan sedia dimakan menggunakan teknik retort,” ujarnya.
Melalui jualan produk sedia untuk dimakan itu Adia Global mencatatkan rekod jualan RM1 juta pertama yang direkodkan pada 2024.
Menurut beliau, penggunaan teknologi retort membolehkan makanan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang tanpa penggunaan bahan pengawet, sekali gus memberi kemudahan kepada pengguna.
Melihat potensi pasaran yang semakin berkembang, beliau dan suami mengambil keputusan untuk mengembangkan operasi ke Selangor dengan membuka kilang pertama di Bandar Bukit Raja sebelum berpindah ke Telok Panglima Garang, Kuala Langat.
“Bagaimanapun, antara cabaran terbesar yang kami hadapi ketika memulakan perniagaan ialah kekurangan ilmu berkaitan pembangunan kilang makanan dan pemilihan mesin yang sesuai untuk kapasiti pengeluaran.
“Cara paling mudah adalah mendapatkan khidmat perunding, tetapi kosnya sangat tinggi dan boleh mencecah sehingga RM50,000. Pada ketika itu keadaan kewangan syarikat tidak mengizinkan kami membuat pelaburan yang besar,” katanya.
“Jadi, untuk menambah pengetahuan, saya mengikuti pelbagai kursus anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian Malaysia dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) selain mendapatkan tunjuk ajar daripada komuniti usahawan retort di seluruh negara,” jelasnya.
Bagaimanapun, cabaran itu bertambah apabila pandemik Covid-19 melanda pada 2020 ketika kilang pertama syarikat sedang dibina.
“Dengan modal yang kecil, saya, suami dan dua anak perempuan terpaksa turun padang menguruskan pelbagai perkara dalam syarikat.
“Syukur kerana bantuan dana dan pembiayaan daripada MARA, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan beberapa agensi lain membantu kami terus bertahan,” katanya.
Norhaidah berkata, sokongan keluarga turut memainkan peranan penting dalam perkembangan Adia Global sehingga mampu menjadi antara pengilangan peralatan asal (OEM) yang mendapat kepercayaan pelbagai syarikat, influencer dan selebriti tempatan.
“Kami banyak menerima tempahan OEM sehingga tidak sempat memberi fokus kepada jenama sendiri. Kami selesa berada di belakang tabir kerana dapat membantu banyak jenama berkembang berdasarkan kepakaran masing-masing.
“Antara perubahan terbesar yang dipelajarinya sepanjang bergelar usahawan adalah membina kekuatan dalaman bagi menghadapi pelbagai cabaran dalam dunia perniagaan.
“Dunia perniagaan tidak mudah seperti yang dilihat oleh orang luar. Sebagai usahawan wanita yang memimpin kakitangan pelbagai peringkat dan berurusan dengan pembekal serta pembeli yang kebanyakannya lelaki, kekuatan dalaman menjadi tunjang untuk saya terus bertahan,” katanya. – UTUSAN









