WORQ perluas peranan dalam ekosistem kerja fleksibel negara

WORQ perluas peranan dalam ekosistem kerja fleksibel negara

STEPHANIE PING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PERUBAHAN landskap pekerjaan pasca pandemik terus membentuk semula cara rakyat Malaysia bekerja apabila semakin ramai pekerja beralih kepada model kerja hibrid dan fleksibel. 

Situasi itu turut membuka ruang baharu kepada penyedia ruang kerja bersama untuk memainkan peranan lebih besar dalam menyokong produktiviti tenaga kerja bandar.

Antara pemain yang dilihat semakin menonjol dalam ekosistem ini ialah WORQ yang kini memperluaskan peranannya sebagai penyedia ruang kerja fleksibel selari dengan peningkatan permintaan terhadap ruang kerja yang lebih dekat, mudah diakses dan kondusif.

Wartawan Utusan Malaysia, HENDRA WINARNO berpeluang menemu bual Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif WORQ, STEPHANIE PING bagi berkongsi lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

 

UTUSAN: Bagaimana WORQ melihat perkembangan trend kerja hibrid dan bekerja dari rumah (BDR) di Malaysia ketika ini?

STEPHANIE: Sebagai rangkaian ruang kerja bersama dan ruang kerja fleksibel terbesar di Malaysia, WORQ melihat kerja hibrid sebagai perubahan asas dalam struktur kerja dan bukannya sekadar trend sementara pasca pandemik, khususnya di pasaran bandar seperti Lembah Klang.

Pengaturan WFH dan kerja hibrid kini semakin menjadi sebahagian daripada strategi utama perniagaan, didorong oleh jangkaan bakat, tahap produktiviti dan disiplin kos.

Majikan kini mencari kaedah untuk meningkatkan produktiviti pasukan sambil menarik serta mengekalkan bakat terbaik dan pengaturan kerja fleksibel membantu merealisasikan perkara tersebut.

Kami melihat peralihan jelas ke arah ekosistem ‘bekerja dari mana sahaja’, di mana pekerja bergerak secara fleksibel antara rumah, pejabat dan ruang kerja ketiga.

Pejabat fizikal masih penting, namun peranannya kini lebih tertumpu kepada kolaborasi, pembinaan budaya kerja dan interaksi bernilai tinggi. 

Sokongan kerajaan terhadap pengaturan kerja fleksibel turut memberikan sokongan institusi yang mempercepatkan penerimaan merentas industri.

 

Sejauh mana perubahan gaya kerja ini mempengaruhi permintaan terhadap ruang kerja fleksibel seperti WORQ?

Peralihan kepada kerja hibrid telah mempercepatkan permintaan terhadap ruang kerja fleksibel dan momentum itu terus berkembang.

Syarikat kini beralih daripada konsep ibu pejabat tunggal kepada strategi ruang kerja teragih di pelbagai lokasi.

WORQ secara konsisten me­ngekalkan kadar penghunian yang tinggi, sekali gus mencerminkan daya tahan dan permintaan mampan terhadap ruang kerja fleksibel.

Lokasi dalam pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan hab komersial matang terus mencatat prestasi lebih baik susulan faktor aksesibiliti.

Model ‘space-as-a-service’ juga semakin mendapat perhatian apabila syarikat mengutamakan fleksibiliti, kualiti dan lokasi berbanding saiz semata-mata.

Ruang kerja bersama kini digunakan sebagai pelengkap portfolio pejabat korporat kerana menawarkan kepantasan, kebolehskalaan serta kemudahan berkualiti tinggi, selain membantu meningkatkan pengalaman dan produktiviti pekerja.

Bagaimana WORQ menyesuaikan perkhidmatan dan konsep ruang kerja bagi memenuhi keperluan tenaga kerja moden yang lebih fleksibel?

WORQ dibangunkan berasaskan falsafah mengutamakan fleksibiliti dengan menawarkan penyelesaian berskala daripada meja kerja terbuka sehingga pejabat persendirian bertaraf perusahaan.

Rangkaian 12 lokasi kami di seluruh Lembah Klang ditempatkan secara strategik dalam pembangunan TOD bagi menyokong konsep kerja terdesentralisasi.

Kami membolehkan syarikat melaksanakan strategi ‘hub-and-spoke’ melalui akses pelbagai lokasi dan penyelesaian ruang kerja teragih.

Tawaran perusahaan termasuk pejabat persendirian tersuai, pakej ruang kerja hibrid dan penyelesaian pasukan yang boleh diskalakan.

Melalui WORQ Well, kami melangkaui fungsi ruang kerja dengan mengintegrasikan kesejahteraan, gaya hidup dan produktiviti dalam satu ekosistem.

Kemudahan seperti zon kesejahteraan, fasiliti gaya hidup dan program Move @ WORQ membantu meningkatkan penglibatan serta kesejahteraan pekerja.

Komuniti juga menjadi pembeza utama kerana WORQ berfungsi sebagai platform perniagaan dan rangkaian, bukan sekadar tempat bekerja.

Kami kerap menganjurkan sesi perkongsian dan bengkel pem­belajaran berkaitan topik semasa seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi.

Pendekatan kami dipacu data apabila penawaran perkhidmatan sentiasa diperhalusi berdasarkan corak penggunaan dan tingkah laku ahli.

Adakah ketidaktentuan geopolitik memberi kesan terhadap permintaan ruang kerja bersama?

Ruang kerja bersama akan terkesan sekiranya ketidaktentuan geopolitik melimpah kepada ketidaktentuan ekonomi.

Konsep ruang kerja bersama membolehkan ketangkasan operasi apabila syarikat boleh menambah atau mengurangkan ruang mengikut keadaan pasaran.

Dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi, syarikat menjadi lebih berhati-hati terhadap komitmen jangka panjang dan perbelanjaan modal besar.

Mereka cenderung menggunakan ruang kerja bersama untuk kekal fleksibel sambil memantau perkembangan semasa.

Secara keseluruhan, industri ruang kerja bersama akan berkembang seiring ekonomi, namun dianggap lebih defensif kerana kelebihan fleksibiliti strategik dan kos yang ditawarkannya ketika tempoh volatiliti.

Apakah perancangan atau sasaran WORQ bagi ruang kerja bersama tahun ini?

WORQ memberi tumpuan kepada pengembangan strategik di Lembah Klang, khususnya kawasan TOD bagi memperluaskan akses ruang kerja berhampiran kediaman dan pengangkutan awam.

Syarikat turut memperkukuh penawaran WORQ Well menerusi ruang kerja fleksibel dan berkualiti tinggi bagi meningkatkan produktiviti pekerja serta menyokong amalan kerja hibrid.

Dalam jangka panjang, WORQ menyasarkan untuk menjadi rangkaian ruang kerja teragih utama bagi menyokong ekonomi hibrid Malaysia.

Bagaimana WORQ menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula niaga berbanding pelanggan korporat besar dalam persekitaran kerja yang semakin berubah?

Bagi PKS dan syarikat pemula niaga, WORQ menawarkan kepantasan, fleksibiliti dan komitmen awal yang rendah sekali gus mengurangkan halangan tradisional untuk memulakan operasi.

Pelan fleksibel membolehkan syarikat menambah atau mengurangkan ruang dengan kos minimum mengikut pertumbuhan atau keadaan pasaran.

PKS turut mendapat manfaat daripada infrastruktur bersama dan persekitaran pejabat ‘plug-and-play’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN