PETALING JAYA: Untung bersih Westports Holdings Bhd (Westports) melonjak 47 peratus kepada RM326.5 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 berbanding RM222.46 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Peningkatan keuntungan bersih itu disokong oleh pendapatan kontena yang lebih kukuh.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengendali pelabuhan itu memberi amaran mengenai cabaran berpotensi susulan krisis di Asia Barat yang mengganggu bekalan tenaga serta meningkatkan kos bahan api.
“Ini berikutan kebergantungan kepada diesel tidak bersubsidi yang dipautkan kepada harga Platts.
“Harga tenaga yang tinggi secara berterusan boleh mencetuskan inflasi, melemahkan permintaan global serta meningkatkan risiko kemelesetan,” katanya.
Westports turut mencatatkan hasil meningkat 44 peratus tahun ke tahun kepada RM896.3 juta berbanding RM621.30 juta pada tempoh sama tahun sebelum, namun tiada dividen diumumkan bagi tempoh berkenaan.
Mengulas lanjut, Westports berkata, syarikat perkapalan kini mengubah laluan kapal dan pelabuhan singgahan bagi mengelak Selat Hormuz, sekali gus menjejaskan aliran kontena.
“Walaupun berdepan cabaran itu, Westports mengekalkan unjuran pertumbuhan kontena dalam julat satu digit rendah buat masa ini.
“Bagaimanapun, unjuran ini boleh disemak semula sekiranya keadaan bertambah buruk atau volum dagangan melemah,” jelasnya.
Saham Westports meningkat 2.29 peratus kepada RM5.80 pada sesi tengah hari Jumaat dengan nilai pasaran kumpulan itu kini mencecah RM19.9 bilion. – UTUSAN










