PUTRAJAYA: Semua calon daripada aliran di luar sistem pendidikan kebangsaan termasuk tahfiz dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) masih perlu memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) jika mahu menyambung pengajian di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman berkata, mereka perlu mendapat sekurang-kurangnya kepujian Bahasa Melayu serta lulus Sejarah dalam SPM sebagaimana ketetapan yang telah diputuskan.
“Syarat itu tidak pernah dikompromi walaupun kerajaan membuka laluan khas kepada UEC dan tahfiz. Bahasa Melayu dan Sejarah memang berlandaskan kepada SPM yang dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia. Tiada kompromi untuk itu.
“SPM ini sangat penting kerana kita bercakap mengenai kurikulum kebangsaan Malaysia,” katanya pada sidang akhbar khas Laluan Kemasukan Pelajar Lepasan Di Luar Sistem Pendidikan Kebangsaan ke IPTA di sini semalam.
Katanya, calon lepasan UEC yang memiliki sijil penuh SPM sebenarnya sudah lama boleh memohon kemasukan ke IPTA menerusi sistem UPUOnline berdasarkan merit keputusan SPM mereka.
Azlinda berkata, golongan itu juga boleh memohon program kritikal seperti kejuruteraan dan perubatan tertakluk kepada kelayakan akademik semasa.
“Jadi, ia tidak menjadi masalah. Mereka boleh masuk program kritikal, program yang mereka minat seperti kejuruteraan dan perubatan tertakluk kepada keputusan SPM mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Azlinda turut menegaskan laluan baharu yang diperkenalkan kerajaan bukan bertujuan mengiktiraf UEC, sebaliknya bagi memperluas akses pendidikan tinggi secara inklusif.
Katanya, bagi laluan khas itu, lepasan UEC hanya dibenarkan memohon beberapa program tertentu berkaitan bahasa dan pengajian Cina di beberapa IPTA.
“Pemilihan pelajar tetap tertakluk kepada penilaian senat universiti termasuk aspek merit, kompetensi bahasa dan temu duga. Ini bukan soal pengiktirafan. Kita membuka laluan dan peluang, tetapi standard serta kualiti akademik tetap dijaga universiti,” katanya.
Dalam pada itu, ujarnya, buat masa ini, pengambilan kemasukan ke IPTA bagi pelajar lepasan institusi tahfiz dan sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) akan dibuat secara terus oleh universiti berkenaan membabitkan lapan program yang ditawarkan empat universiti.
IPTA itu ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).
“Setakat ini, bagi lepasan sekolah atau institusi tahfiz, program yang dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz dan Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).
“Manakala bagi lepasan SMPC pula, program yang dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan,” katanya.
Katanya, permohonan pada 30 Jun ini akan dibuat secara terus oleh universiti berkenaan manakala bermula tahun depan kemasukan akan dibuat menerusi UPUOnline.
Ujarnya, buat masa ini, KPT tiada perancangan untuk memperluas program pengajian itu kepada program lain.
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir juga menegaskan, mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM kekal menjadi syarat wajib bagi kemasukan ke IPTA termasuk untuk pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan.
Katanya, ia turut terpakai kepada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri yang mempersetujui beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar daripada aliran sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan SMPC untuk mengikuti program pengajian di IPTA.
“SPM tetap wajib walaupun dia (pelajar) belajar aliran itu. Sebab penilaian UPU (sistem UPUOnline) kita ialah berdasarkan kepada keputusan SPM.
“Maknanya dia duduki dua peperiksaan, termasuk lulus mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu yang diiktiraf oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia,” katanya.
Zambry menegaskan, syarat kemasukan ke IPTA tetap perlu berdasarkan sistem SPM, walaupun kerajaan membuka ruang laluan tertentu kepada pelajar daripada sistem pendidikan lain.
“Asasnya mesti sama. Sebagai contoh, daripada aliran mana sekalipun, sama ada sekolah itu, sekolah ini, belajar di sana, belajar di sini, nak masuk ke IPTA mesti berdasarkan kepada sistem SPM kita,” katanya.
Beliau berkata, keputusan kerajaan itu bagaimanapun telah dimanipulasi sesetengah pihak, seolah-olah kerajaan mengorbankan sistem pendidikan negara.
“Semalam apabila (kerajaan) membuat keputusan untuk membuka ruang, bukan memberi pengiktirafan (kepada sistem lain) kita tidak akan berubah, kita tidak akan mengiktiraf sistem lain.
“Sama ada pelajar daripada aliran mana sekalipun, sekolah itu sekolah antarabangsa ke, SMPC, sekolah agama, yang tidak mengikut kurikulum kebangsaan, maka pelajar kena ikut sistem kita.
“Sudah jadi dimanipulasi seolah-olah kita telahpun mengorbankan sistem pendidikan kita,” katanya. – UTUSAN










