Ekonomi Malaysia berkembang 5.4%, inflasi dijangka meningkat

Ekonomi Malaysia berkembang 5.4%, inflasi dijangka meningkat

ABDUL Rasheed Ghaffour semasa sidang akhbar Pengumuman Statistik KDNK Suku Pertama 2026 di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus pada suku pertama 2026, mengatasi unjuran awal kerajaan pada 5.3 peratus sebelum ini didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri.

Kerajaan juga mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun penuh pada 4.0 hingga 5.0 peratus meskipun dunia berdepan ketidaktentuan global dan krisis geopolitik yang berpanjangan.

Bagaimanapun, inflasi negara dijangka meningkat dalam lingkungan 1.5 hingga 2.5 peratus tahun ini, berikutan keadaan kos global yang tinggi serta pemindahan kos secara beransur-ansur kepada rantai­an pengeluaran domestik.

Ini secara tidak langsung menjadikan peningkatan inflasi yang ketara buat kali pertama setelah sekian lama berada pada paras di bawah 1.5 peratus.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, asas ekonomi negara yang kukuh terus menjadi pemacu utama daya tahan ekonomi Malaysia dalam menghadapi tekanan luaran.

“Walaupun ketegangan geo­politik semakin memuncak­ dan ketidaktentuan global berterusan, ekonomi Malaysia dijangka kekal berkembang dalam julat unjuran 4.0 peratus hingga 5.0 peratus.

“BNM turut menolak kebimbangan bahawa kesan perang terhadap pertumbuhan ekonomi mungkin dipandang terlalu rendah.

“Unjuran pertumbuhan sememangnya telah mengambil kira risiko penurunan yang berpotensi berlaku akibat konflik semasa,” katanya dalam pengumuman prestasi suku pertama 2026 di sini semalam.

Daripada sudut luaran, ka­tanya, Malaysia turut me­ngambil kira kesan konflik di Asia Barat terhadap pasaran komoditi, sektor pelancongan, pertumbuhan global serta sentimen pelabur.

“Namun begitu, eksport pro­duk elektrik dan elektronik (E&E) serta prestasi kukuh sektor perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dijangka membantu mengekalkan momentum pertumbuhan,” katanya.

Menurut Abdul Rasheed, ri­­siko terhadap prospek pertumbuhan masih wujud, khus­usnya jika konflik berpanjangan dan menyebabkan gangguan lebih besar terhadap infrastruktur tenaga di rantau Asia Barat yang boleh memberi kesan kepada harga minyak dan rantaian bekalan global.

“Walaupun begitu, pihak bank pusat kekal optimis bahawa ekonomi Malaysia berada pada landasan yang stabil de­ngan sokongan faktor domestik yang kukuh dan permintaan luar yang masih berdaya tahan,” katanya.

Mengulas mengenai pres­tasi KDNK suku pertama negara, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, perbelanjaan isi rumah kekal disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, dengan kadar pengangguran yang kekal rendah selain disokong permintaan domestik, pelaburan swasta, eksport dan sektor pelancongan.

Sementara itu, Perdana Men­teri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan berkata, tumpuan kerajaan terhadap reformasi Ekonomi Madani berasaskan dasar mesra pertumbuhan, program berpaksikan rakyat dan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab terus memperkukuh momentum per­tumbuhan ekonomi negara.

“Pada masa sama, pengurusan fiskal yang bertanggungjawab membolehkan kerajaan mengurangkan dampak kenaikan harga bahan api global terhadap rakyat dan perniagaan melalui Budi Madani RON95 (BUDI95) serta bantuan dipertingkat di bawah BUDI Diesel, selain terus menyokong perbelanjaan isi rumah dan pertumbuhan ekonomi.

“Penciptaan pekerjaan yang berterusan telah menurunkan kadar pengangguran kepada 2.9 peratus iaitu paras terendah dalam tempoh sedekad manakala inflasi kekal sederhana pada kadar 1.6 peratus sepanjang suku tersebut,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN