Untung bersih MFM melonjak 28.4 peratus pada suku pertama - Utusan Malaysia

Untung bersih MFM melonjak 28.4 peratus pada suku pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan bersih pengeluar makanan ruji, Malayan Flour Mills Berhad (MFM) melonjak 28.4 peratus kepada RM42.5 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2026 berbanding RM33.1 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Prestasi itu sebahagian besarnya disebabkan oleh keputusan yang lebih kukuh daripada segmen perdagangan tepung dan bijirin (FGT) dan perniagaan integrasi ayam (PI).

Segmen FGT kumpulan, bersama-sama perniagaan Aquafeed, menyumbang keuntungan selepas cukai sebanyak RM38.7 juta pada suku dikaji, peningkatan 9.4 peratus berbanding RM35.4 juta pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ini dicapai meskipun pendapatan yang lebih rendah iaitu RM741.4 juta, berbanding RM799.3 juta pada tahun sebelumnya, hasil daripada volum jualan yang lebih tinggi serta margin sumbangan yang bertambah baik.

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusannya, Teh Wee Chye berkata, prestasi memberangsangkan itu mencerminkan permulaan yang sihat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 melibatkan kedua-dua sektor teras kumpulan.

Ujarnya, segmen ayam itik terus meraih momentum positif sepanjang suku tahun dikaji yang mencerminkan keberkesanan strategi operasi serta pemasaran dalam menyasarkan pasaran baharu.

“Walaupun landskap komoditi global kekal mencabar dan sukar diramal, menguruskan kitaran pasaran seumpama ini sudah menjadi sebahagian daripada perniagaan kami. 

“Pengalaman operasi dan disiplin perolehan yang dibina sekian lama membolehkan kami mengemudi turun naik pasaran.

“Melangkah ke hadapan, kami kekal fokus untuk memperkukuh perniagaan teras bagi memainkan peranan sebagai penggiat sekuriti makanan utama di rantau ini melalui peningkatan kecekapan operasi dan meletakkan kumpulan pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan peluang merentasi pasaran kami,” katanya dalam kenyataan.

PT Bungasari, syarikat usaha sama milik 30 peratus MFM di Indonesia juga kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM5.1 juta pada suku tersebut, berbanding kerugian bersih sebanyak RM1.7 juta setahun yang lalu hasil pemulihan permintaan dan peningkatan operasi.

Sementara itu, bahagian keuntungan kumpulan daripada usaha sama di Indonesia itu berjumlah RM1.5 juta pada suku pertama 2026, berbanding bahagian kerugian sebanyak RM0.5 juta pada suku pertama 2025.

Selain itu, segmen PI yang dikendalikan melalui 51 peratus pegangan dalam Dindings Tyson Sdn. Bhd. (DTSB), mencatatkan prestasi yang jauh lebih kuat pada suku dikaji, dengan keuntungan selepas cukai melonjak 150.3 peratus kepada RM18.4 juta daripada RM7.4 juta pada tempoh yang sama sebelumnya.

Bahagian keuntungan kumpulan daripada pegangannya itu berjumlah RM9.4 millon, berbanding bahagian keuntungan sebanyak RM3.8 juta pada suku pertama 2025 yang disokong oleh volum jualan yang lebih tinggi hasil permintaan saluran pengilang dan pasaran moden. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN