PETALING JAYA: Penyanyi, Shila Amzah meminta orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap sindiket penipuan yang menggunakan nama artis untuk memperdaya pengguna media sosial dengan tawaran wang tunai dan hadiah lumayan.
Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 36, berkata, taktik tersebut semakin kerap digunakan oleh penyangak wang siber termasuk menghantar mesej peribadi (DM) kepada pengguna media sosial kononnya mahu memberikan bantuan kewangan atau hadiah tertentu.
“Kenapa ya, penyangak wang siber suka guna nama artis? Semua kena hati-hati okay. Kalau tiba-tiba ada orang mahu bagi duit atau cakap menang RM30,000, semua itu penipuan.
“Jangan sesuka hati beri butiran peribadi kepada orang. Duit tidak datang semudah itu. Tolong jangan gelap mata. Tolong sebarkan dekat semua media sosial,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Menurut penyanyi Patah Seribu itu, pengguna perlu bijak menilai dan seharusnya mengabaikan golongan ini.
“Lagi satu, penyangak wang siber ini memang suka DM kononnya artis mahu bagi itu ini. Tolong jadi pengguna media sosial yang bijak dan abaikan mereka ini,” ujarnya.
Perkongsian tersebut dibuat selepas semakin banyak kes penipuan dalam talian dikesan menggunakan nama selebriti tempatan sebagai umpan untuk mendapatkan maklumat serta memperdaya mangsa di media sosial.
Untuk rekod, Shila Amzah merupakan penyanyi dan penulis lagu terkenal Malaysia yang mencipta sejarah sebagai artis tempatan pertama menembusi pasaran muzik China selepas menjuarai pertandingan Asian Wave pada tahun 2012.










