KOS operasi perniagaan dilaporkan terus meningkat susulan kenaikan harga bahan api yang memberi kesan langsung kepada operasi harian, selain peningkatan kos logistik yang turut mendorong kenaikan harga bahan dan peralatan di seluruh rantaian bekalan.
Dalam masa yang sama, turun naik harga minyak yang dipengaruhi faktor geopolitik, gangguan rantaian bekalan serta perubahan permintaan global telah mewujudkan persekitaran operasi yang lebih mencabar dan tidak menentu.
Keadaan ini menyebabkan syarikat minyak dan gas (O&G) berdepan tekanan kos yang lebih tinggi, khususnya dalam aspek bahan api, logistik serta perolehan peralatan.
Malah, tekanan inflasi global turut meningkatkan kos pelaksanaan projek, sekali gus menjejaskan margin keuntungan serta melambatkan pelaksanaan beberapa projek berskala besar.
Dalam situasi ini, banyak syarikat mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap perbelanjaan modal dan pelaburan baharu.
Namun, dalam keadaan krisis ini, adakah ia turut membuka ruang kepada peluang baharu dalam industri, khususnya kepada pemain yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran dan meningkatkan kecekapan operasi?
Pengarah Urusan EXS Synergy Sdn.Bhd., Fairuz Yahaya berkata, kenaikan harga bahan api telah memberi kesan langsung kepada operasi harian syarikat.
“Selain itu, kos bahan mentah serta peralatan turut meningkat, didorong oleh kos logistik yang lebih tinggi di peringkat global.
“Persekitaran semasa mencabar, namun kami menyesuaikan operasi dengan lebih efisien untuk mengurangkan impak kenaikan kos,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebagai syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas, EXS Synergy, berdepan tekanan kos operasi yang meningkat susulan ketidaktentuan harga minyak global, namun kekal optimistik melalui strategi kepelbagaian dan inovasi teknologi bagi memastikan daya saing jangka panjang.
Menurut beliau, usaha mengekalkan kedudukan dalam industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) yang semakin kompetitif, EXS Synergy melaksanakan tiga strategi utama.
“Ini termasuk pembangunan teknologi sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar serta mengoptimumkan kos operasi.
“Selain itu, syarikat giat mengembangkan pasaran ke peringkat serantau seperti Thailand, Singapura dan Vietnam. EXS Synergy turut mempelbagaikan perniagaan dengan menceburi sektor baharu seperti pusat data dan semikonduktor, memanfaatkan kepakaran sedia ada,” katanya.
Malah, jelas Fairuz, langkah kepelbagaian perkhidmatan dilihat sebagai kritikal dalam mengurangkan risiko kebergantungan terhadap satu segmen sahaja, khususnya sektor minyak dan gas yang terdedah kepada turun naik harga komoditi.
“Dengan memasuki industri lain, syarikat dapat menstabilkan aliran pendapatan serta membuka peluang pertumbuhan baharu, sekali gus mengurangkan impak kitaran ekonomi dalam sektor tenaga,” katanya.
Menurutnya, krisis tenaga global turut memberi tekanan kepada kos projek, khususnya dari segi perolehan bahan, logistik dan perancangan operasi.
“Walau bagaimanapun, situasi ini juga mencetuskan peluang apabila terdapat peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan tertentu, terutamanya yang berkaitan dengan kecekapan tenaga dan pengoptimuman kos operasi pelanggan,” katanya.
EXS Synergy ketika ini mempunyai tenaga kerja yang terdiri daripada tenaga mahir dalam pelbagai bidang teknikal.
Bagi memastikan kemahiran kekal relevan, syarikat memberi penekanan kepada latihan berterusan, pensijilan profesional serta pendedahan kepada teknologi baharu.
Tambahnya, dalam menghadapi kemungkinan penyusutan aktiviti industri, syarikat mengambil langkah proaktif dengan menempatkan semula tenaga kerja ke projek atau sektor lain yang sedang berkembang.
“Selain itu, peningkatan kemahiran dan latihan semula turut dilaksanakan bagi memastikan pekerja kekal berdaya saing.
“Langkah-langkah ini mencerminkan pendekatan berhati-hati EXS Synergy dalam mengurus risiko industri sambil terus meneroka peluang pertumbuhan dalam landskap tenaga global yang dinamik,” katanya. – UTUSAN










