PETALING JAYA: Standard Chartered Malaysia memperkukuh sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk mikro-entreprise, melalui kemudahan SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM).
SME SRF, sebahagian daripada inisiatif pembiayaan RM5 bilion oleh BNM diwujudkan khusus untuk membantu PKS yang berdaya maju mengurus gangguan aliran tunai jangka pendek serta mengekalkan operasi dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi susulan konflik berterusan di Asia Barat.
Di bawah kemudahan ini, perniagaan yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM750,000 dengan tempoh sehingga lima tahun, pada kadar pembiayaan maksimum 3.75 peratus setahun termasuk yuran jaminan.
Pembiayaan ini disokong jaminan sehingga 80 peratus oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad, khususnya bagi PKS yang tidak mempunyai cagaran mencukupi.
Permohonan dibuka dari 15 Mei 2026 hingga 31 Disember 2026, atau sehingga dana habis digunakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Interim, Ketua Liputan dan Ketua Kewangan Standard Chartered Malaysia, Mushahid Syed berkata, PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia termasuk menyokong pekerjaan, rantaian bekalan dan komuniti.
Katanya, dalam persekitaran operasi yang mencabar, akses segera kepada modal kerja adalah penting bagi membantu perniagaan mengurus tekanan aliran tunai serta meneruskan operasi dengan lebih yakin.
“Melalui SME SRF, kami komited untuk menyokong pelanggan dengan penyelesaian pembiayaan praktikal dan bekerjasama rapat dengan mereka dalam menghadapi ketidaktentuan jangka pendek. Kami juga menggalakkan perniagaan yang menghadapi tekanan kewangan untuk berhubung lebih awal bagi meneroka pilihan sokongan,” katanya dalam kenyataan.
PKS yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi pengurus perhubungan masing-masing atau melayari laman rasmi Standard Chartered Malaysia.
Selaras dengan panduan BNM, perniagaan yang berdepan kesukaran kewangan digalakkan untuk berhubung lebih awal dengan institusi kewangan bagi membincangkan sokongan seperti fleksibiliti bayaran balik, penstrukturan semula atau bantuan lain yang sesuai.
PKS juga boleh mendapatkan khidmat nasihat kewangan dan pengurusan hutang melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). – UTUSAN










