KUALA LUMPUR: Pelakon, Ikmal Amry mengakui isterinya, Najla kurang selesa melihat dirinya kerap berkongsi foto atau video tidak berbaju di media sosial selepas mereka mendirikan rumah tangga.
Menurut Ikmal, isterinya sudah beberapa kali menegur dan meminta dia mengurangkan tindakan tersebut kerana imej sedemikian sering menjadi perhatian netizen.
“Untuk isteri sebenarnya dia tak okey. Lepas berkahwin ini banyaklah dia kata tak perlu untuk buat begitu.
“Tetapi saya sudah berada dalam bidang kecergasan, kadang-kadang bila di gimnasium terlepas juga,” katanya.
Pelakon itu berkata, teguran daripada isterinya membuatkan dia mula memikirkan untuk memperlahankan imej tersebut, apatah lagi usianya juga semakin meningkat.
“Saya kini berada dalam fasa perlahan-lahan untuk cuba kurangkan tayang badan. Kalau fikir, sampai bila saya nak ada badan seperti itu.
“Mungkin apabila usia saya sudah 40 tahun ke atas, badan saya tidak lagi sebegitu. Bila isteri sudah cakap begitu, saya cuba ikut kehendaknya,” ujarnya.
Ikmal turut berkongsi pengalaman ketika menyertai sembilan acara Hyrox sebelum ini apabila empat daripadanya dilakukan tanpa berbaju sehingga menerima teguran daripada isterinya.
“Sekarang apabila sertai Hyrox saya sudah mula berbaju dan saya sendiri rasa sudah tiba masanya untuk ‘slow down’ tayang badan.
“Minta maaf, itu khilaf saya dan saya akan cuba untuk tidak terlalu kerap menunjukkannya lagi,” katanya.
Bagaimanapun, Ikmal menjelaskan terdapat situasi tertentu yang memerlukan dirinya tampil tanpa berbaju terutama ketika membawakan watak aksi dalam filem.
Menurutnya, perkara itu dilakukan atas tuntutan watak dan bukannya secara suka-suka.
“Saya hanya akan lakukan untuk kerja sahaja seperti dalam filem Tarung: Unforgiven dan The Furious.
“Industri kita sekarang juga sudah menuju ke arah cerita aksi. Ada yang tidak perlu buka baju tetapi sukan tinju tetap sukan tinju. Kita lihat legenda seperti Muhammad Ali juga tidak memakai baju ketika berlawan,” katanya.
Tambahnya, dia tidak akan membuka baju sewenang-wenangnya dalam mana-mana babak sekiranya tidak diperlukan oleh jalan cerita.
“Tetapi ada juga situasi buka baju yang tidak melibatkan watak seperti ketika melakukan aktiviti berlari, itu memang kehendak sendiri.
“Kalau untuk filem, itu tuntutan watak. Kalau di luar kerja, itu atas pilihan sendiri,” jelasnya.
Terdahulu, Ikmal dikenali sebagai antara selebriti yang aktif bersukan selain memiliki bentuk badan yang menjadi perhatian ramai.










