KUALA TERENGGANU: Seorang Penolong Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan memiliki senjata api, peluru, pistol tiruan dan senjata berbahaya dalam kejadian di Kampung Tok Lawit, Hulu Terengganu 10 Mei lalu.
Mohd. Faizal Fauzi, 39, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki berkenaan didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Smith & Wesson secara menyalahi undang-undang di dalam sebuah kereta Nissan Grand Livina. Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Kampung Tok Lawit, Hulu Terengganu kira-kira pukul 6.30 petang pada 10 Mei lalu.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa memiliki 77 jenis amunisi tanpa lesen senjata melibatkan peluru berkaliber 9 milimeter dan 5.56 milimeter. Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan jenis Airsoft Kimber Yonkers NY U.S.A yang merupakan senjata tiruan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.
Selain itu, Mohd. Faizal berdepan pertuduhan memiliki dua bilah kerambit bersarung kayu yang merupakan senjata berbahaya di tempat awam tanpa maksud sah mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Mahkamah menetapkan 7 Jun ini untuk fakta kes dan hukuman serta tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Marang, tertuduh turut didakwa atas pertuduhan memiliki dan mengedar dadah berbahaya.
Mohd Faizal, didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 227.18 gram di tepi Jalan Kampung Tok Lawit, Kuala Berang kira-kira pukul 6.30 petang pada 10 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Tertuduh turut didakwa memiliki dadah disyaki jenis Nitrazepam seberat 18.56 gram di lokasi, tarikh dan masa sama. Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Athirah Hashim yang kemudian menetapkan 24 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN










