PETALING JAYA: Sedania Innovator Berhad (Sedania) mencatatkan prestasi suku terbaik dalam segmen teknologi pengguna lestasi bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2026, dengan peningkatan hasil segmen tersebut sebanyak 67 peratus tahun ke tahun kepada RM5.17 juta.
Bagi suku sama, kumpulan merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM0.82 juta, manakala hasil meningkat sebanyak enam peratus tahun ke tahun kepada RM63.6 juta.
Sementara itu, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat lebih dua kali ganda kepada RM5.07 juta, manakala keuntungan operasi meningkat lebih dua kali ganda kepada RM2.40 juta, pencapaian suku tahunan tertinggi setakat ini.
Bagi sembilan bulan pertama, segmen ini mencatatkan hasil sebanyak RM11.93 juta, meningkat 35 peratus tahun ke tahun, dengan keuntungan operasi naik kepada RM4.57 juta.
Prestasi memberangsangkan ini didorong oleh peningkatan pesat penggunaan penyelesaian pembiayaan digital patuh syariah utama kumpulan iaitu As-Sidq dan Program Pembiayaan GoHalal.
Pengarah Urusan merangkap Pengasas Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, perkembangan As-Sidq dan GoHalal bukan sekadar lonjakan jangka pendek, sebaliknya satu perubahan struktur.
Katanya, rakyat Malaysia, termasuk institusi yang berkhidmat untuk mereka, kini aktif mencari penyelesaian pembiayaan yang selari dengan nilai, mudah diakses secara digital dan inklusif kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan.
“Itulah yang kami bina dan pasaran memberi respons positif. Prestasi suku ini mengesahkan hasil pelaburan berterusan kami dalam platform teknologi.
“Syarikat kini berada pada titik perubahan penting, di mana sifat hasil teknologi kewangan (fintech) yang berulang, digabungkan dengan margin yang kukuh serta rangkaian rakan institusi yang semakin berkembang, menjadikan segmen teknologi pengguna sebagai pemangkin transformasi sebenar dalam kumpulan,” katanya dalam kenyataan.
Melangkah ke hadapan, Sedania menjangkakan segmen teknologi pengguna lestari akan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan masa depan, disokong oleh permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian pembiayaan digital serta peluang hasil berulang.
Pada masa sama, Sedania kekal komited memperkukuh jenama kesejahteraan pengguna melalui pelaburan berterusan dalam pembinaan jenama, inovasi dan inisiatif penglibatan pelanggan. – UTUSAN










