KUALA LUMPUR: Ringgit terus mempamerkan daya tahan yang kukuh apabila mencatatkan pengukuhan sebanyak 3.3 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat 13 Mei lalu.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, prestasi positif itu turut dicerminkan melalui Kadar Pertukaran Efektif Nominal (NEER) yang meningkat sebanyak 2.9 peratus dalam tempoh yang sama.
Katanya, asas ekonomi domestik yang kuat, prospek ekonomi yang menggalakkan serta pelaksanaan reformasi struktur yang berterusan menjadi pemangkin utama kepada daya tahan ringgit ketika ini.
“Pada suku pertama tahun ini, ringgit mencatatkan pengukuhan berbanding mata wang rakan dagang utama Malaysia dan meningkat sebanyak 0.5 peratus berbanding dolar AS.
“Daya tahan ini turut disokong oleh pengaruh pelabur bukan pemastautin yang berterusan dalam pasaran bon dan ekuiti domestik,” katanya dalam pengumuman prestasi suku pertama 2026 hari ini.
Bagaimanapun, Abdul Rasheed mengakui bahawa sebagai sebuah ekonomi terbuka yang kecil, Malaysia tidak terlepas daripada pengaruh faktor luaran terutamanya ketidaktentuan geopolitik.
Beliau berkata, konflik di peringkat global sebelum ini telah menyebabkan ringgit mengalami sedikit susutan nilai berbanding dolar AS, selari dengan kebimbangan pasaran serantau.
“Namun begitu, ringgit telah pulih sebahagiannya susulan rundingan gencatan senjata pada 8 April lalu. Kita menjangkakan akan wujud sedikit turun naik dalam tempoh terdekat memandangkan ketidaktentuan pasaran global masih berterusan.
“Ini termasuk jangkaan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS yang berkurangan susulan harga minyak yang tinggi serta tekanan inflasi yang meningkat,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, BNM akan terus memantau rapat perkembangan global dan kekal komited untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi secara teratur.
Prestasi memberangsangkan ringgit ini dilihat selari dengan unjuran pertumbuhan ekonomi negara yang dijangka terus stabil, meskipun berdepan persekitaran kewangan global yang semakin mencabar.-UTUSAN










