Tabika autisme pertama Perlis jadi sinar baharu kanak-kanak istimewa

Tabika autisme pertama di Perlis jadi sinar baharu kanak-kanak istimewa

Mohamad Zaki Ismail (dua dari kiri) bersama guru-guru melihat anak-anak autisme melakukan aktiviti disediakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEWUJUDAN taman bimbingan kanak-kanak (tabika) khas untuk kanak-kanak autisme yang pertama di Perlis membuka lembaran baharu dalam landskap pendidikan awal kanak-kanak berkeperluan khas di negeri ini dengan memberi penumpuan khusus buat anak-anak autisme.

Tabika Kemajuan Masyarakat (Kemas) Tunas Istimewa (TTI) yang mula beroperasi sejak Januari lalu di Kuala Perlis sememangnya amat dinantikan dan menjadi platform penting dalam membantu kanak-kanak autisme tersebut membina asas perkembangan diri sebelum melangkah ke alam persekolahan selepas ini.

Jika sebelum ini, ibu bapa berdepan kekangan dengan kebanyakkan mereka yang mempunyai anak autisme terpaksa membawa insan tersayang itu mendapatkan terapi di pusat swasta dengan kos lebih tinggi.

Justeru, penubuhan tabika berkenaan di negeri ini adalah amat bertepatan bagi menyediakan intervensi awal yang tersusun dan inklusif buat kanak-kanak dalam kategori mild autisme.

Pada peringkat awal, tabika khas berkenaan mempunyai lapan murid dengan dikendalikan oleh dua orang guru iaitu Dalila Diyana Sazali, 38, yang juga mempunyai tiga anak autisme dan Kasmilia Kasim, 37, beserta seorang pembantu.

Mereka merupakan guru terlatih dalam memastikan setiap kanak-kanak itu mendapat perhatian mengikut keperluan masing-masing.

MURID-murid dibawa ke bilik sensori selepas menyelesaikan aktiviti-aktiviti pembelajaran diberikan oleh guru-guru sebagai terapi.

Tabika beroperasi bermula pukul 7.30 pagi hingga 12 tengah hari itu juga mengenakan yuran pada kadar berpatutan iaitu RM100 sebulan.

Dalila Diyana berkata, pembelajaran kanak-kanak di tabika ini adalah menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang dikhususkan untuk pendidikan khas.

Katanya, pendekatan awal diterapkan adalah dengan lebih berfokuskan kepada kemahiran pengurusan diri seperti berdikari dalam aktiviti harian sebelum beralih kepada aspek akademik.

“Alhamdulilah, dalam tempoh empat bulan pertama ini sudah nampak perubahan dalam kalangan anak-anak autisme ini. Antaranya sudah mampu menguruskan diri, mengikut rutin harian, mengawal emosi serta ada yang sudah boleh membaca dan menghafal surah al-Fatihah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Dalila Diyana berkata, tabika berkenaan juga dilengkapi pelbagai kemudahan seperti ruang pembelajaran, dapur, tandas dan bilik sensori khas yang berfungsi sebagai ruang terapi bagi ketenangan murid-murid.

GURU-guru mengajar anak-anak istimewa dengan menyediakan pelbagai aktiviti di tabika khas autisme pertama Perlis di Tabika Kemas Tunas Istimewa (TTI), Kuala Perlis baru-baru ini.-UTUSAN/ASYRAF

Katanya, selain itu, terdapat juga bilik atau ruang fizikal yang digunakan untuk merangsang perkembangan sensori melalui aktiviti pergerakan serta interaksi.

“Kebiasaan, saya akan membenarkan mereka masuk ke bilik sensori itu sebagai hadiah atau ganjaran selepas anak-anak ini selesaikan aktiviti pembelajaran yang diberikan. Bilik itu juga gelap dan dilengkapi pencahayaan tertentu bagi membantu kanak-kanak ini menenangkan diri serta meningkatkan fokus selepas menjalani aktiviti pembelajaran,” katanya.

Katanya, aspek rangsangan sensori sememangnya diberi perhatian khusus memandangkan kebanyakkan kanak-kanak autisme tersebut mempunyai cabaran deria seperti sentuhan, bunyi dan visual.

Ujarnya, elemen pembelajaran asas membabitkan pengenalan huruf, warna dan pembentukan jati diri turut diselitkan secara berperingkat mengikut tahap kemampuan.

Sementara itu, Pengarah Kemas negeri, Mohamad Zaki Ismail berkata, inisiatif itu akan diperluaskan ke kawasan Parlimen Arau dan Padang Besar selepas ini, bagi memastikan lebih ramai kanak-kanak autisme mendapat akses pendidikan awal bersesuaian keperluan mereka.

Beliau berkata, proses saringan juga akan dijalankan terlebih dahulu di mana tabika tersebut menerima kemasukan kanak-kanak autisme berusia lima dan enam tahun.

“Kita menerima kemasukkan meskipun mereka masih tidak berdaftar sebagai pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dan hanya diperlukan pengesahan diagnosis daripada doktor.

“Buat masa ini, sambutan ibu bapa amat menggalakkan walaupun jumlah kemasukan masih belum mencapai kapasiti penuh seramai 14 murid. Ada juga dalam kalangan waris murid di sini yang menetap di Changlun, Kedah dan mereka sanggup berulang-alik ke sini setiap hari untuk hantar anak,” katanya.

Seorang waris, Noor Anita Mohd Rodzi, 60, pula berkata, cucunya dihantar ke tabika berkenaan untuk diberikan pendedahan dan bergaul dengan rakan sebaya selepas dilihat lebih gemar bersendirian serta sukar berinteraksi.

Katanya, selepas kira-kira dua bulan, cucunya telah menunjukkan perubahan dan semakin kurang bergaduh dengan adiknya sendiri.

“Inisiatif disediakan seperti ini memang bagus dan kalau boleh, setiap kawasan perlu ada tabika atau pusat seperti ini kerana selain murah, ia juga membantu ibu bapa mengurus anak dalam persekitaran yang lebih terkawal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN