GOPENG: Nahas yang meragut nyawa suaminya, Allahyarham Koperal Amiruddin Zabri melibatkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan masih segar dalam ingatan, walaupun sudah setahun berlalu.
Norazian Mohd. Joned, 39, berkata, tanggal 13 Mei 2025 tetap dikenang sebagai detik tragis dalam hidupnya apabila kehilangan suami dalam sekelip mata.
Katanya, kejadian itu sukar untuk dilupakan, seolah-olah semuanya seperti baharu sahaja berlaku.
Pasangan itu mempunyai tiga anak terdiri daripada dua lelaki masing-masing berusia 13 dan 12 tahun serta perempuan berumur dua tahun.
“Saya hilang suami sekelip mata, sebagai isteri saya masih rasa trauma apabila dalam sekelip mata hilang orang tersayang yang pergi meninggalkan kami empat beranak.
“Arwah sudah setahun meninggalkan kami, namun seperti baharu semalam berlaku, sukar untuk kami lupakan malahan banyak kenangan bersama arwah terutama bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri yang baharu disambut,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Itik di sini.
Menurutnya, dia dan anak-anak masih tinggal di rumah sama memandangkan keluarganya dan arwah suami berasal dari Kampung SungaI Itik.
Katanya, untuk melepaskan kerinduan, dia sering menziarahi kubur Allahyarham.
“Apa yang berlaku semua ketentuan Allah, saya reda walaupun semua yang dirancang tidak kesampaian apabila arwah pergi meninggalkan nama sebagai pahlawan negara memperjuangkan keselamatan tanah air, saya rasa bangga.
“Saya mahu membesarkan ketiga-tiga anak saya. Anak-anak semua faham dan tahu ayah mereka pergi ketika bertugas,” katanya.
Sementara itu, anak kedua pasangan itu, Amirul Asyraf Amiruddin, 12, berkata, jika rindu dia akan melihat gambar arwah ayahnya sambil berdoa.
“Sudah setahun ayah meninggal dunia, namun saya tak boleh lupakan ayah. Ayah memang rapat dengan saya, ke mana dia pergi, dia akan bawa, sudah tentu saya tak boleh lupakan ayah sampai bila-bila,” katanya.
Allahyarham Amiruddin merupakan antara sembilan anggota polis yang maut dalam kemalangan membabitkan trak dinaiki mereka dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam. – UTUSAN










