KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus pada suku pertama 2026 berbanding 6.3 peratus pada suku keempat 2025, didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, perbelanjaan isi rumah kekal disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, dengan kadar pengangguran yang kekal rendah, di samping langkah-langkah dasar bersasar.
Katanya, pertumbuhan pelaburan disokong oleh pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun oleh sektor swasta dan sektor awam, kadar realisasi yang tinggi bagi pelaburan yang diluluskan, serta pelaksanaan berterusan pelan induk nasional.
“Dari segi faktor luaran, pertumbuhan eksport kekal kukuh, didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan bagi eksport elektrik dan elektronik (E&E),” katanya dalam pengumuman prestasi suku pertama 2026 hari ini.
Sementara itu, ujarnya, pertumbuhan import kasar menjadi sederhana berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan bagi import barangan modal, barangan perantaraan dan barangan pengguna.
Dari segi penawaran, pertumbuhan sektor perkhidmatan menjadi sederhana, mencerminkan penurunan dalam jualan kenderaan bermotor berikutan pembelian yang dilakukan lebih awal pada suku keempat sebelum tamatnya tempoh pengecualian duti import bagi kenderaan elektrik.
Dalam pada itu, inflasi keseluruhan meningkat kepada 1.6 peratus berbanding suku keempat 2025 sebanyak 1.3 peratus, manakala inflasi teras menjadi sederhana kepada 2.1 peratus berbanding sebanyak 2.3 peratus pada suku keempat 2025.
“Inflasi keseluruhan yang lebih tinggi mencerminkan kesan awal pindahan tekanan kos global yang lebih tinggi, sebahagiannya disebabkan oleh konflik di Asia Barat,” katanya.- UTUSAN










