Permintaan bantuan pinjaman PKS hanya 0.09 peratus - Utusan Malaysia

Permintaan bantuan pinjaman PKS hanya 0.09 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permintaan bagi bantuan penstrukturan semula pinjaman yang membabitkan pinjaman perniagaan yang baharu dijadualkan semula pada suku pertama 2026 kekal stabil dengan hanya 0.09 peratus meskipun berdepan ketidaktentuan global. 

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, peratusan tersebut merujuk kepada jumlah pinjaman yang baru dijadualkan dan distruktur semula (R&R) setakat Mac lalu

“Berdasarkan libat urus dengan pihak bank, mereka belum melihat jumlah permintaan bantuan yang tinggi. Malah, apabila didekati, sebilangan besar perniagaan merasakan mereka belum memerlukan bantuan tersebut buat masa ini.  

“Namun begitu, institusi kewangan tetap menawarkan pelbagai program fleksibiliti pembayaran balik bagi membantu pelanggan menguruskan cabaran aliran tunai sebelum keadaan menjadi lebih meruncing,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman prestasi suku pertama 2026 hari ini. 

Sebagai sokongan tambahan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat konflik di Asia Barat, Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) berjumlah RM5 bilion kini dibuka untuk permohonan mulai hari ini.  

Peminjam yang menghadapi kesukaran juga disaran mendapatkan khidmat rundingan melalui Program Pengurusan Hutang serta Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil yang ditawarkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).  

Dalam pada itu, BNM turut bekerjasama dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) untuk memperkenalkan skim jaminan berjumlah RM10 bilion yang akan tersedia mulai 1 Jun 2026.

Skim Jaminan BNM-CGC ini merangkumi enam skim jaminan portfolio yang meliputi bidang rangkuman kewangan, iklim dan kelestarian, produktiviti serta daya tahan.

Langkah ini dilihat sebagai usaha proaktif kerajaan dan BNM untuk memastikan sokongan modal kerja sentiasa tersedia bagi memelihara daya tahan PKS dalam mendepani sebarang risiko gangguan kepada ekosistem ekonomi pada masa hadapan.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN