Perdagangan Malaysia lepasi RM1 trilion dalam empat bulan, terpantas dalam sejarah - Utusan Malaysia

Perdagangan Malaysia lepasi RM1 trilion dalam empat bulan, terpantas dalam sejarah

PERDAGANGAN Malaysia cipta sejarah lepasi RM1 trilion dalam masa terpantas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia mencatat sejarah apabila mencecah RM1.127 trilion bagi tempoh Januari hingga April 2026, sekali gus menjadi pencapaian terpantas negara melepasi paras RM1 trilion dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Prestasi memberangsangkan itu dipacu permintaan kukuh terhadap produk berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), khususnya sektor elektrik dan elektronik (E&E), selain strategi kepelbagaian pasaran yang semakin agresif.

Jumlah perdagangan meningkat 15.3 peratus kepada RM1.127 trilion berbanding tempoh sama tahun lalu dengan eksport melonjak 19 peratus kepada RM609.31 bilion manakala import meningkat 11.1 peratus kepada RM517.40 bilion.

Lebihan dagangan pula hampir dua kali ganda apabila meningkat 99.1 peratus kepada RM91.92 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Abu Bakar Yusof berkata, kekuatan Malaysia kini terletak pada nilai eksport dan bukannya kuantiti semata-mata.

“Lonjakan eksport produk berkaitan AI dan semikonduktor membuktikan industri negara semakin kukuh dalam rantaian bekalan teknologi global.

“Matrade akan terus membantu pengeksport dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan bergerak ke rantaian nilai lebih tinggi bagi merebut peluang bernilai tinggi di pasaran dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi April 2026 sahaja, eksport melonjak 36.9 peratus kepada RM182.74 bilion manakala lebihan dagangan meningkat 460.5 peratus kepada RM28.75 bilion, sekali gus menjadi nilai bulanan tertinggi pernah direkodkan negara.

Pertumbuhan eksport sepanjang empat bulan pertama tahun ini didorong terutamanya oleh produk E&E yang meningkat RM71 bilion atau 32.1 peratus susulan ledakan permintaan semikonduktor global didorong penggunaan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan pembangunan pusat data.

Malaysia turut mengukuhkan kedudukan dalam rantaian nilai global AI apabila eksport produk berkaitan AI melonjak 42.9 peratus kepada RM319.05 bilion, merangkumi lebih separuh atau 52.4 peratus daripada jumlah eksport negara.

Selain sektor E&E, produk farmaseutikal dan automotif turut mencatat pertumbuhan dua digit masing-masing sebanyak 21.9 peratus dan 10.3 peratus.

Prestasi eksport negara turut disokong permintaan kukuh daripada rakan dagang utama termasuk Amerika Syarikat yang meningkat 32.5 peratus, Taiwan (+68.9 peratus), Hong Kong (+43 peratus), China (+18.7 peratus), Kesatuan Eropah (+23.9 peratus) dan ASEAN (+8.6 peratus).

Eksport ke negara rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pula berkembang 14.2 peratus kepada RM390.09 bilion dengan 17 daripada 24 negara FTA mencatatkan pertumbuhan positif termasuk Korea Selatan, India, Mexico, United Kingdom, Australia dan New Zealand.

Dalam pada itu, Malaysia turut mencatat pertumbuhan luar biasa di pasaran baharu khususnya di Afrika dan Eropah Timur.

Antara negara yang merekodkan lonjakan eksport tertinggi ialah Republik Demokratik Congo (+196.6 peratus), Sudan (+223.1 peratus), Zimbabwe (+220.5 peratus), Bulgaria (+141.6 peratus), Haiti (+103.5 peratus), Ethiopia (+88.1 peratus) dan Uzbekistan (+29.7 peratus).

Menurut Abu Bakar, perkembangan tersebut membuktikan strategi kepelbagaian pasaran Malaysia berada di landasan tepat dalam menghadapi ketidaktentuan perdagangan global.

“Malaysia kini bergerak melangkaui pasaran tradisional bagi memastikan negara kekal relevan dan penting dalam rantaian bekalan global,” katanya.

Bagaimanapun, ketegangan geopolitik di Asia Barat memberi kesan kepada aliran perdagangan ke rantau itu apabila eksport ke wilayah berkenaan merosot 15.8 peratus kepada RM14.08 bilion.

Antara negara yang terkesan ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Iran, Iraq dan Qatar.

Namun, Malaysia berjaya mengimbangi kesan tersebut menerusi peningkatan eksport ke beberapa pasaran alternatif termasuk Bahrain (+131.5 peratus), Syria (+74.3 peratus), Jordan (+11.2 peratus) dan Cyprus (+230.7 peratus).

Matrade menjangkakan prestasi perdagangan Malaysia kekal kukuh sepanjang 2026 disokong momentum sektor HGHV, kepelbagaian pasaran serta keupayaan negara menyesuaikan diri dengan cabaran geopolitik global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN