Oriental Kopi kendali 34 kafe setakat Mei 2026

Oriental Kopi kendali 34 kafe setakat Mei 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Oriental Kopi Holdings Berhad (Oriental Kopi) terus mengembangkan rangkaian kafe miliknya sepanjang tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2026 dengan mengendalikan 34 kafe setakat 26 Mei 2026.

Pengarah Urusan Oriental Kopi, Calvin Chan Jian Chern berkata, jumlah itu merangkumi 31 cawangan domestik dan tiga cawangan antarabangsa di Singapura yang diuruskan menerusi usaha sama dengan Paradise Group Holdings Pte. Ltd.

“Pertumbuhan fizikal itu dipacu pembukaan strategik enam cawangan baharu sejak penutupan tahun kewangan berakhir 30 September 2025.

“Cawangan berkenaan ialah di Queensbay Mall, Suria Sabah Shopping Mall, Sunway Velocity, Dataran Merdeka serta hab transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan KLIA Terminal 2 Boarding Hall,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Oriental Kopi merekodkan keuntungan bersih meningkat 8.8 peratus kepada RM15.0 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2026 berbanding RM13.8 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala hasil melonjak 42.7 peratus kepada rekod RM147.3 juta.

Beliau berkata, Oriental Kopi bukan sekadar mahu mengembangkan kehadiran fizikal menerusi pembukaan cawangan, malah berhasrat membawa makanan Malaysia ke peringkat global.

“Dengan matlamat awal memperkenalkan makanan Malaysia kepada dunia, kami memulakan perjalanan unik untuk mencatat Guinness World Records bagi hidangan nasi lemak terbanyak disajikan dalam tempoh lapan jam pada 1 Mei 2026.

“Pelbagai persiapan, sistem dan perancangan telah dilaksanakan. Sokongan yang diterima membuktikan jenama yang kami bina dihargai rakyat Malaysia dan berada pada kedudukan baik untuk mengetengahkan warisan kulinari tempatan ke persada dunia,” katanya.

Tambah beliau, operasi domestik kumpulan terus diperkukuh bagi memenuhi peningkatan sokongan terhadap Oriental Kopi.

“Dengan sistem operasi yang telah terbukti berkesan, kami kini bersedia menembusi pasaran luar negara baharu.

“Ini termasuk memperluaskan rangkaian produk makanan berbungkus dan bekerjasama dengan pengedar luar negara supaya pasaran global dapat menikmati cita rasa terbaik masakan Malaysia pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

“Kami sentiasa berusaha mewujudkan suasana nostalgia di setiap cawangan dan kini bersedia membawa pengalaman serta keterujaan sama kepada pengguna antarabangsa.

“Ketika kami berkembang secara mampan di sini, kami berharap suatu hari nanti dunia turut mengidamkan cita rasa autentik Malaysia seperti mana yang kita nikmati hari ini,” katanya.

Dari segi kedudukan kewangan, Oriental Kopi mengekalkan kedudukan tunai bersih yang kukuh setakat 31 Mac 2026.

Tunai dan baki bank kumpulan bersama instrumen pasaran wang serta deposit tetap berjumlah RM237.3 juta, jauh melebihi jumlah pinjaman sebanyak RM3.1 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN