KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 memperkenalkan Women in Export (WiEX), komponen baharu dalam usaha memperkukuh penyertaan perusahaan diterajui wanita dalam pasaran global.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Abu Bakar Yusof berkata, WiEX merupakan agenda ekonomi strategik yang dirangka bagi membuka potensi eksport syarikat milik wanita yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Beliau berkata, banyak perniagaan diterajui wanita mempunyai ciri inovatif, tangkas dan berorientasikan kualiti, namun masih tertumpu kepada pasaran domestik.
“Ini bukan sekadar inisiatif simbolik, sebaliknya usaha yang disengajakan untuk menangani antara sumber pertumbuhan global yang masih kurang diterokai.
“Banyak perniagaan yang diterajui wanita masih tertumpu kepada pasaran domestik, sekali gus mewakili peluang yang terlepas bukan sahaja kepada syarikat terbabit, malah kepada pertumbuhan eksport negara,” katanya pada majlis pra pelancara MIHAS 2026 baru-baru ini.
Menurut beliau, perusahaan milik wanita merangkumi kira-kira 20 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia, namun penyertaan mereka dalam perdagangan antarabangsa masih rendah.
Katanya, data Moody’s Analytics yang dipetik UN Women pada 2024 menunjukkan penglibatan lebih ramai wanita dalam ekonomi global berpotensi menambah sehingga AS$7 trilion (RM27.68 trilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.
“Secara ringkas, syarikat yang mempunyai kepimpinan pelbagai lazimnya mencatat prestasi kewangan lebih kukuh,” katanya.
Abu Bakar berkata, WiEX akan membantu membawa syarikat berpotensi tinggi ke pasaran antarabangsa, sekali gus memperluas asas pengeksport negara dan mengurangkan kebergantungan kepada kumpulan firma tertentu.
Beliau berkata, inisiatif itu turut mencerminkan model pertumbuhan inklusif Malaysia dengan memperkasa lebih banyak perusahaan wanita untuk bersaing di peringkat global menerusi eksport idea, inovasi dan produk nilai tambah.
MIHAS 2026 akan berlangsung dari 23 hingga 26 September tahun depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Pameran itu akan menggabungkan penglibatan fizikal dan digital bersama penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pembeli, peserta pameran dan pelabur mengenal pasti peluang perdagangan serta menghasilkan nilai komersial yang lebih berkesan. – UTUSAN










