MDS Food Industry berkembang daripada perniagaan kecil keluarga

MDS Food Industry berkembang daripada perniagaan kecil keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA daripada sebuah perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan bersama keluarga, MDS Food Industry kini berkembang sebagai antara syarikat bumiputera yang aktif dalam industri makanan sedia dimakan dan produk retort di negara ini.

Pengasasnya, Md Shukor Johari berkata, perniagaan tersebut dibangunkan bersama isterinya, Yusniaziah Sharuddin dengan matlamat menyediakan produk makanan yang praktikal, berkualiti dan memenuhi keperluan pengguna masa kini.

Menurut beliau, pada peringkat awal, operasi syarikat dijalankan secara sederhana dengan memberi fokus kepada penghasilan makanan siap dimakan yang mudah disimpan, tahan lama serta sesuai dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Kami memulakan perniagaan ini sebagai sebuah perniagaan keluarga. 

“Ketika itu, fokus utama adalah menghasilkan produk makanan yang praktikal dan berkualiti untuk pengguna yang memerlukan makanan mudah disediakan tanpa menjejaskan rasa serta kualiti.

“Daripada situ, kami melihat potensi industri makanan sedia dimakan semakin berkembang selari dengan gaya hidup masyarakat yang semakin sibuk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, MDS Food Industry bukan sahaja terlibat dalam pembangunan produk dan pemprosesan makanan, malah turut menawarkan perkhidmatan pengilangan peralatan asli (OEM) untuk pelbagai jenis produk makanan.

“Inspirasi utama kami menceburi bidang ini datang daripada keinginan menyediakan makanan yang praktikal dan memenuhi keperluan gaya hidup masyarakat masa kini yang semakin sibuk.

“Kami melihat permintaan terhadap makanan sedia dimakan semakin meningkat terutama produk yang mudah disimpan dan tahan lama tanpa menjejaskan rasa serta kualiti,” ujarnya.

Mengulas cabaran sepanjang mengusahakan perniagaan itu, Md Shukor berkata, antara cabaran terbesar ialah membina kepercayaan pelanggan selain memastikan konsistensi kualiti produk dalam industri makanan yang kompetitif.

“Pengurusan kos bahan mentah dan jadual pengeluaran turut menjadi antara cabaran utama yang perlu ditangani secara berterusan.

“Kami memperkemaskan operasi, meningkatkan kawalan kualiti dan sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap proses pengeluaran bagi memastikan produk berada pada tahap terbaik,” jelasnya.

Beliau berkata, sokongan keluarga, pelanggan dan rakan niaga juga memainkan peranan penting dalam membantu perkembangan syarikat sehingga ke tahap hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat bermula dengan modal sederhana sebelum berkembang secara berperingkat melalui pengurusan kewangan yang berhati-hati.

“Keuntungan yang diperoleh pada peringkat awal digunakan semula bagi mengembangkan operasi perniagaan sebelum menerima bantuan geran dan pinjaman daripada beberapa agensi berkaitan. 

“Ia termasuk Majlis Amanah Rakyat, SME Corp Malaysia, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dan TEKUN Nasional.

Beliau turut menjelaskan syarikat kini sedang melalui fasa transformasi apabila mula beralih daripada penggunaan tenaga kerja manual kepada penggunaan mesin pembungkusan automatik bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan kecekapan operasi.

“Media sosial juga kini menjadi platform penting dalam memperkenalkan produk dan memperkukuh jenama syarikat.

“Kami aktif menggunakan TikTok, Facebook dan Instagram untuk promosi produk, berkongsi kandungan berkaitan makanan serta berinteraksi dengan pelanggan.

“Sebahagian besar tempahan datang daripada perkhidmatan OEM dan platform digital juga banyak membantu meningkatkan kesedaran jenama serta jualan syarikat,” katanya.

Beliau turut menasihatkan golongan muda supaya tidak takut memulakan perniagaan walaupun secara kecil-kecilan.

“Fokus kepada ilmu, disiplin dan konsistensi. Selain itu, sentiasa bersedia untuk belajar perkara baharu dan gunakan teknologi serta media sosial sebagai platform untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN