KUALA LUMPUR: Masalah bekalan air di Kedah tidak akan dapat diselesaikan selagi projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau yang kini terbengkalai gagal disiapkan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah berkata, usaha perlu bagi mematikan kegagalan menyiapkan projek air ini tidak terus meleretkan kepada masalah rizab air Kedah yang memang sudah sifar peratus.
Katanya, rizab air Kedah dilaporkan berada pada tahap sifar sejak 2020 seperti yang dilaporkan dalam laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan keadaan itu memberi tekanan besar kepada pembangunan serta keperluan rakyat di negeri berkenaan.
“Projek itu gagal disiapkan oleh kontraktor yang dilantik dan kontraknya telah ditamatkan. Maka perkara itu kembali kepada Kementerian Ekonomi melalui Notice of Change (NOC), sekali gus menimbulkan beban kos tambahan yang perlu disalurkan.
“Selepas kontrak ditamatkan, kita perlu mencari jalan penyelamat secepat mungkin dan tempoh pemulihan paling pantas dianggarkan sekitar tiga tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor ‘Raising the Ceiling, Raising the Floor: The Jobs Agenda as a Productivity Agenda’ di Asia School of Business di sini hari ini.
Sementaa itu, beliau berkata, kerajaan perlu meluluskan tambahan peruntukan RM50 juta bagi menyelamatkan projek tersebut.
Menurut Akmal, tumpuan kerajaan terhadap isu air di Kedah bukan dibuat secara sengaja, sebaliknya kerana negeri itu sememangnya berdepan masalah bekalan air yang serius dan memerlukan tindakan segera.
“Kalau negeri lain fokusnya mungkin jalan atau kawasan industri, tetapi di Kedah isu utamanya ialah air,” jelasnya. – UTUSAN










