GUA MUSANG: Seorang buruh ditemukan maut dipercayai dipijak sekumpulan gajah yang mengamuk di kawasan tepi sungai berhampiran ladang getah di Jalan Ladang Serasa, di sini hari ini.
Razali Daud, 55, ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa dengan kesan dipercayai akibat serangan haiwan itu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menerima laporan mengenai penemuan mangsa kira-kira pukul 11.38 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Paloh 2 ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan.
Katanya, pemeriksaan di lokasi menemukan kesan tapak kaki dan najis gajah berhampiran mayat mangsa.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Hasil maklumat awal orang awam mendapati mangsa dipercayai diserang sekumpulan gajah liar di lokasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Choon Foo berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Katanya, tiada unsur jenayah terlibat dalam kejadian berkenaan kerana ia membabitkan serangan haiwan. – UTUSAN










