PETALING JAYA: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026 disifatkan petunjuk ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan pertumbuhan yang stabil, meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan cabaran luar.
Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, prestasi itu menunjukkan struktur ekonomi negara semakin seimbang apabila pertumbuhan disokong dua pemacu utama iaitu permintaan domestik yang kukuh serta sektor luaran yang masih berdaya tahan.
“Pertumbuhan ini mencerminkan daya tahan ekonomi Malaysia, khususnya daripada perbelanjaan pengguna yang stabil serta peningkatan pelaburan domestik, di samping sumbangan positif sektor eksport.
“Kekuatan permintaan domestik banyak dipacu oleh keyakinan pengguna, kestabilan pendapatan isi rumah serta aktiviti kredit yang masih menyokong perbelanjaan isi rumah.
“Pada masa sama, pelaburan perniagaan turut mencatat pertumbuhan berikutan pelaksanaan projek infrastruktur serta pelaburan modal tetap yang terus rancak dalam beberapa sektor utama.
“Dari sudut luaran pula, prestasi eksport barangan dan perkhidmatan terus menyokong pertumbuhan, dipacu oleh permintaan global terhadap produk utama negara termasuk elektronik, komoditi dan perkhidmatan berkaitan rantaian bekalan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang pada 5.4 peratus pada suku pertama 2026, berbanding 6.3 peratus pada suku sebelumnya, didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri.
Mengulas lanjur, Barjoyai berkata, risiko luaran masih wujud khususnya ketegangan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi global serta perubahan dasar monetari ekonomi utama dunia yang boleh menjejaskan momentum eksport.
Mengulas prospek pasaran, beliau berkata, ringgit berpotensi mendapat sokongan sekiranya pertumbuhan ekonomi yang kukuh diteruskan serta disertai aliran masuk pelaburan asing yang lebih baik.
“Namun begitu, ringgit kekal sensitif terhadap sentimen global termasuk hala tuju kadar faedah Amerika Syarikat (AS), harga komoditi serta perkembangan geopolitik yang boleh mencetuskan volatiliti.
“Bagi pasaran ekuiti pula, Bursa Malaysia dijangka terus mendapat sokongan sekiranya momentum pertumbuhan korporat meningkat seiring dengan pengukuhan ekonomi domestik.
“Sektor seperti pembuatan, teknologi, tenaga dan perkhidmatan kewangan dilihat berpotensi menjadi pemacu utama pasaran, dipacu oleh jangkaan pertumbuhan pendapatan syarikat.
“Bagaimanapun, ketidaktentuan global serta perubahan sentimen pelabur asing kekal menjadi risiko utama kepada aliran dana pasaran,” jelasnya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi KDNK suku pertama itu masih baik meskipun perlahan berbanding 6.3 peratus pada suku keempat 2025.
“Ia masih melebihi negara lain di ASEAN seperti Singapura (3.8 peratus) dan Thailand (2.8 peratus), meskipun berdepan cabaran geopolitik global berterusan, daripada kekecohan tarif pada tahun lalu sehinggalah meletusnya konflik di Iran pada 28 Februari 2026,” katanya.
Beliau berkata, sektor domestik terus menjadi teras pertumbuhan ekonomi negara dengan perbelanjaan meningkat sempena musim perayaan utama seperti Tahun Baharu Cina dan Ramadan yang mengekalkan momentum sehingga suku kedua 2026 berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Selain itu, sektor pelancongan turut memberikan rangsangan kepada ekonomi domestik melalui kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang terus berlangsung,” jelasnya. – UTUSAN










