Pengadil luar negara adili final Piala Malaysia

Pengadil luar negara adili final Piala Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan penggunaan pengadil dari luar negara bagi mengendalikan aksi final Piala Malaysia 2025-2026.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memilih pengadil terbaik untuk mengelola aksi final membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kuching City FC di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 23 Mei ini.

Menurutnya, MFL merancang untuk mendapatkan empat pegawai perlawanan luar negara termasuk dua pembantu pengadil serta seorang pengadil video bantuan pengadil (VAR).

“Keputusan menggunakan pengadil luar negara ini dibuat sebagai langkah memastikan integriti dan kelancaran perlawanan akhir yang menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air.

“Perlawanan final ini adalah aksi berprofil tinggi, jadi dengan standard pengadilan bertaraf antarabangsa, ia diyakini mampu meningkatkan pengalaman pertandingan kepada pemain, pegawai pasukan serta penyokong,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Katanya lagi, keputusan tersebut turut mengambil kira cadangan yang dibangkitkan dalam sesi Perbincangan MFL Bersama Rakan Kongsi Liga yang berlangsung pada 29 April lalu.

“MFL sentiasa mendengar cadangan rakan kongsi untuk sebarang penambahbaikan dalam semua aspek pengelolaan perlawanan namun dalam penggunaan pengadil luar negara, MFL perlu membuat pertimbangan yang baik apatah lagi ia melibatkan kos yang tinggi.

“Namun, langkah ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam saingan domestik di mana sebelum ini khidmat pengadil dari Jepun pernah digunakan bagi mengadili final Piala FA 2019 antara Kedah dan Perak,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN