BAITULMAQDDIS: Kedudukan Israel makin kukuh di lebih separuh wilayah Semenanjung Gaza yang musnah akibat perang antara rejim Zionis dengan Hamas, kata seorang pegawai antarabangsa kanan bertanggungjawab menyelia gencatan senjata.
Pegawai itu, Nikolay Mladenov berkata, keadaan itu berlaku kerana kebuntuan berpanjangan di Gaza berisiko mengukuhkan pembahagian kekal di wilayah itu.
Beliau yang bertanggungjawab melaksanakan perjanjian gencatan senjata Gaza yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) berkata, ia berlaku ketika Israel memperluaskan kawalannya ke atas semenanjung tersebut.
Katanya, kegagalan memajukan perjanjian itu akan membawa kepada status quo berbahaya yang akan menyebabkan dua juta rakyat Palestin di Gaza hidup tanpa masa depan mampan dan mengukuhkan kehadiran jangka panjang Israel di lebih separuh wilayah tersebut.
“Status quo tidak sepatutnya menjadi pilihan bagi sesiapa,” katanya selepas menyentuh gencatan senjata setelah perang antara Hamas dengan Israel berlaku pada 7 Oktober 2023 sehingga mengakibatkan lebih 70,000 penduduk Gaza terbunuh.
“Semakin lama kita tidak menangani masa depan, semakin kita menstabilkan status quo itu dan status quo itu akan menjadi semakin sukar untuk dihapuskan,” tambah Mladenov yang berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Lembaga Keamanan Gaza (BoP) pada sidang media di Baitumaqddis, Rabu.
Sidang akhbar itu adalah yang pertama sejak beliau memegang jawatan pada Januari dan diadakan selepas Mladenov bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Amaran itu menggambarkan keadaan yang semakin meruncing di Gaza. Ketika perhatian dunia tertumpu kepada perang di Iran, Israel sedang memperluaskan kawalannya ke atas semenanjung tersebut dan membunuh lebih ramai rakyat Palestin manakala Hamas enggan melucutkan senjata seperti ditetapkan dalam perjanjian gencatan senjata.
Pegawai Israel memberi amaran bahawa Hamas sedang giat membina semula keupayaan ketenteraan dan pentadbirannya serta memperkukuhkan kawalannya di Gaza.
Berdasarkan perjanjian gencatan senjata Oktober 2025 antara Israel dan Hamas, tentera Israel berundur ke satu garisan pemisah dikenali sebagai garisan kuning yang merangkumi kira-kira 53 peratus kawasan Gaza.
Namun, garisan itu kini semakin bergerak ke arah Laut Mediterranean, menyebabkan penduduk Gaza dihimpit ke kawasan tanah yang semakin mengecil.
Kumpulan bantuan antarabangsa berkata, tentera Israel bulan lalu memberikan mereka peta baharu menandakan garisan oren, yang menunjukkan Israel kini menguasai kira-kira 64 peratus wilayah tersebut. – AGENSI










