PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjangkakan peningkatan permohonan pensijilan kepada kira-kira 24,000 menjelang akhir tahun ini, berbanding purata sekitar 8,000 setahun sebelum ini.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Halal Jakim, Iszam Padil berkata, berdasarkan data terkini, sebanyak lebih 6,000 permohonan direkodkan dalam tempoh suku pertama hingga April tahun ini, sekali gus mencerminkan trend peningkatan berterusan dalam industri halal.
“Jika kita ambil purata 6,000 bagi suku pertama, secara anggaran ia boleh mencecah sekitar 24,000 permohonan menjelang akhir tahun,” katanya dalam forum bersama pihak Nestle dan Jakim sempena Synergy Halal Nestle Malaysia di sini, semalam.
Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, permohonan sijil halal dilaporkan meningkat daripada sekitar 8,000 kepada 12,000, bersamaan pertumbuhan anggaran sehingga 150 peratus.
Menurut Iszam, peningkatan ini didorong oleh kesedaran tinggi dalam kalangan pengguna serta permintaan kukuh daripada industri makanan dan minuman (F&B), termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat multinasional.
“Bagaimanapun, kadar kelulusan sijil halal masih bergantung kepada tahap kesiapsiagaan pengusaha dalam memenuhi piawaian ditetapkan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, permintaan tinggi terhadap pensijilan halal turut didorong oleh minat negara luar seperti China dan Korea Selatan yang melihat halal sebagai nilai tambah penting dalam eksport produk mereka.
“Ini sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara rujukan utama dalam pensijilan halal global.
“Walaupun perkembangan industri amat positif, cabaran kini lebih tertumpu kepada peningkatan kesedaran dalam kalangan pengguna. Kefahaman yang tepat mengenai konsep halal dilihat penting bagi memastikan permintaan terhadap produk halal terus berkembang selari dengan pertumbuhan industri.
“Sehubungan itu, pelbagai inisiatif pendidikan dan program kesedaran akan terus dipergiat bagi memastikan masyarakat tidak hanya bergantung kepada trend semasa, tetapi benar-benar memahami kepentingan halal secara menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Hal Ehwal Halal Nestlé Malaysia, Nasrul Hadi berkata, kesedaran mengenai konsep halal perlu diterapkan sejak peringkat awal persekolahan bagi memastikan generasi muda lebih peka dalam membuat pilihan makanan pada masa hadapan.
Menurut beliau, pengalaman masa kecil memainkan peranan besar dalam membentuk ingatan jangka panjang.
“Jika kita imbas kembali, ramai antara kita masih mengingati kehadiran minuman Milo di sekolah. Pengalaman itu kekal hingga dewasa dan pendekatan sama boleh digunakan untuk meningkatkan kesedaran halal,” katanya.
Sehubungan itu, Nestlé Malaysia melaksanakan pelbagai program di sekolah rendah melalui inisiatif seperti “Halal in School” yang memberi pendedahan awal kepada murid mengenai konsep halal, termasuk aspek nutrisi dan kepentingan memilih produk yang mempunyai logo halal.
Beliau berkata, pemahaman halal bukan sekadar berkaitan bahan makanan semata-mata, tetapi turut merangkumi aspek kebersihan dan keselamatan.
“Halal juga bermaksud makanan itu bersih dan tidak memudaratkan.
“Kanak-kanak perlu dididik untuk memahami perkara ini supaya mereka mampu membuat pilihan yang lebih baik,” ujarnya.
Dalam usaha memperkukuh pendidikan halal, Nestlé Malaysia turut bekerjasama dengan institusi seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi memperkenalkan konsep halal dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). – UTUSAN










