PETALING JAYA: Inspace Creation Berhad mencatat penampilan sulung memberangsangkan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad apabila sahamnya dibuka pada harga 26.5 sen sesaham, premium enam peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 25 sen sesaham.
Pengarah Eksekutif Inspace Creation Berhad, Wong Chong Siong berkata, prestasi pembukaan tersebut mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap kepakaran teknikal khusus syarikat, rekod prestasi penyampaian projek serta prospek pertumbuhan dalam segmen hartanah komersial.
“Sambutan positif ini mencerminkan tindak balas pasaran terhadap model perniagaan serta komitmen kami terhadap transformasi ruang kerja yang berkualiti.
“Dengan modal yang dikumpul, kami lebih bersedia untuk mengembangkan operasi, mewujudkan kemudahan mock-up khusus bagi meningkatkan penglibatan pelanggan serta meneruskan projek komersial berskala lebih besar merentasi pasaran serantau di luar Lembah Klang.
“Kami kekal komited untuk memberikan kecemerlangan serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham,” katanya pada Sidang Media Majlis Penyenaraian Inspace Creation di Pasaran ACE.
Melalui IPO tersebut, Inspace Creation berjaya mengumpul hasil kasar kira-kira RM17.13 juta menerusi penerbitan 68.50 juta saham biasa baharu.
Daripada jumlah itu, RM6 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan modal termasuk penyediaan ruang penyimpanan dan ruang mock-up, selain meningkatkan keupayaan serta kapasiti kumpulan.
Sebanyak RM4.39 juta pula disalurkan sebagai modal kerja bagi membiayai pembelian bahan dan yuran subkontraktor untuk projek sedia ada dan akan datang, serta menampung perbelanjaan operasi dan pentadbiran.
Selain itu, RM2.74 juta diperuntukkan bagi pembayaran balik pinjaman bank, manakala RM4 juta lagi bagi anggaran perbelanjaan penyenaraian berkaitan pelaksanaan IPO.
Sementara itu, Ketua Kewangan Korporat TA Securities Holdings Berhad, Ku Mun Fong berkata, kejayaan penampilan sulung Inspace Creation di Pasaran ACE mencerminkan minat pasaran terhadap rekod prestasi kumpulan serta tumpuan khusus mereka dalam segmen pejabat komersial.
“Dengan dinamik industri yang semakin menggalakkan, didorong oleh keperluan yang terus berkembang terhadap reka bentuk ruang kerja berfungsi, Inspace Creation berada pada kedudukan kukuh untuk meneruskan strategi pertumbuhannya.
“TA Securities berbesar hati kerana dapat menyokong kumpulan ini ketika memasuki fasa baharu sebagai entiti tersenarai awam,” ujarnya.
TA Securities Holdings Berhad merupakan Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin serta Ejen Penempatan bagi IPO tersebut. – UTUSAN










