CIMB lancar akaun gaji dengan perlindungan takaful percuma sehingga RM200,000 - Utusan Malaysia

CIMB lancar akaun gaji dengan perlindungan takaful percuma sehingga RM200,000

STEVEN Sim (kiri) bersama Haniz Nazlan ketika melancarkan Akaun Gaji CIMB yang menawarkan perlindungan Takaful percuma sehingga RM200,000 di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Berhad (CIMB) melancarkan akaun gaji pertama yang disertakan dengan perlindungan takaful percuma sehingga RM200,000 di bawah program CIMB@Work bagi memperkukuh daya tahan kewangan tenaga kerja tempatan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, pengenalan produk itu tepat pada masanya memandangkan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah penggerak utama ekonomi yang memberi kerja kepada hampir separuh rakyat kita.

“PKS kini berhadapan dengan cabaran kenaikan kos harga barang, jadi kemudahan seumpama ini secara tidak langsung dapat membantu majikan mengurangkan beban kos dalam menyediakan kebajikan pekerja.

“Inisiatif seperti ini menunjukkan bagaimana badan korporat boleh memainkan peranan penting dalam melengkapi usaha kerajaan, memberikan hasil yang lebih baik dan mampan untuk perniagaan yang ingin menyediakan jaringan keselamatan sosial untuk pekerja,” katanya dalam majlis pelancaran itu di sini hari ini.

Akaun Gaji CIMB tersebut merangkumi perlindungan terhadap 36 penyakit kritikal seperti kanser dan serangan jantung, selain pampasan bagi Kematian serta Hilang Upaya Menyeluruh dan Kekal (TPD).

Urusan pendaftaran juga dipermudahkan tanpa memerlukan saringan atau pengisytiharan kesihatan, sekali gus memudahkan akses kepada perlindungan tanpa sebarang caruman.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Haniz Nazlan menyasarkan kira-kira dua juta daripada lapan juta pelanggan sedia ada akan beralih kepada akaun gaji baharu tersebut.

“Dengan Akaun Gaji CIMB, kami mempermudahkan akses kepada perlindungan buat pemegang akaun dengan menggabungkan perlindungan takaful secara terus ke dalam akaun gaji mereka.

“Proses pembukaan akaun adalah sangat inklusif dan mampu milik dengan deposit permulaan serendah RM20 sahaja dan pelanggan perlu mengkreditkan gaji minimum RM1,000 ke dalam akaun tersebut,” katanya.

Pelanggan hanya perlu mengekalkan baki purata bulanan (MAB) sebanyak RM 2,500 untuk memulakan perlindungan dan memastikan baki tersebut kekal untuk terus dilindungi.

Sebagai nilai tambah, pemegang akaun akan menikmati manfaat lain termasuk syarat kelayakan lebih rendah untuk kad kredit serta kadar pembiayaan perumahan dan perumahan dan peribadi yang lebih rendah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN