PUTRAJAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad memperhebat strategi pendigitalannya menerusi platform ATLAS dengan memperkenalkan tiga produk tahun ini, termasuk kad kredit, produk pelaburan serta penambahbaikan ciri aplikasi, dalam usaha memperluas ekosistem perbankan digital patuh syariah.
Pengarah Perbankan Digital Bank Muamalat, Hazrizal Hassan berkata, inisiatif itu adalah langkah penting dalam memperkukuh kedudukan bank sebagai institusi kewangan Islam berteraskan digital, selaras dengan perubahan tingkah laku pengguna yang semakin bergantung kepada penyelesaian kewangan berasaskan teknologi.
“Antara inovasi yang bakal diketengahkan termasuk fungsi gaya hidup seperti perkhidmatan akikah dan korban, selain memperkaya sistem ganjaran serta kesetiaan pengguna bagi meningkatkan penglibatan pelanggan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran ATLAS Bank Mualamat di sini semalam.
Menurut beliau, ATLAS menyediakan pendekatan berbeza berbanding bank digital lain dengan mengetengahkan konsep perbankan gaya hidup yang menggabungkan dua teras utama.
“Teras pertama memberi fokus kepada ganjaran dan program kesetiaan, manakala teras kedua menekankan integrasi keperluan harian pengguna Muslim seperti waktu solat, zakat, sedekah serta akses kepada al-Quran digital dalam satu platform.
“Walaupun menampilkan ciri berteraskan gaya hidup Islam, ATLAS kekal inklusif dan terbuka kepada semua pengguna tanpa mengira agama.
“Pengguna juga diberi fleksibiliti untuk menyesuaikan fungsi aplikasi mengikut keperluan masing-masing,” katanya.
Aplikasi perbankan digital, ATLAS dilancarkan pada Jun tahun lalu di Apple Store dan Julai di Google Play, kini mencapai tempoh hampir 10 bulan berada di pasaran dengan prestasi awal yang memberangsangkan.
Sehingga kini, ATLAS telah meraih lebih 20,000 pengguna, dengan majoriti terdiri daripada golongan muda.
Lebih 85 peratus pengguna berumur bawah 45 tahun manakala, 60 peratus lagi berusia di bawah 35 tahun, menunjukkan penerimaan tinggi dalam kalangan generasi digital dan profesional muda.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin berkata, ATLAS merupakan satu langkah penting dalam perjalanan pendigitalan Bank serta aspirasi untuk mentakrif semula perbankan Islam bagi era moden.
“ATLAS bukan sekadar aplikasi perbankan. la direka untuk menjadi sebahagian daripada kehidupan harian pelanggan, menggabungkan pengurusan kewangan dengan gaya hidup.
“Berteraskan prinsip amanah, kami komited untuk memberikan perkhidmatan yang telus dan bertanggungjawab. ATLAS menawarkan penyelesaian yang bukan sahaja inovatif, tetapi juga memberi manfaat jangka panjang kepada pelanggan.
“Dalam usaha Malaysia mempercepat peralihan ke arah ekonomi digital, ATLAS turut memainkan peranan penting dalam memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan yang inklusif dan selamat, agar tiada golongan yang tercicir dalam arus transformasi ini,” katanya.
ATLAS menawarkan akaun simpanan patuh syariah sepenuhnya yang dilengkapi dengan ciri beg kecil simpanan (Savings Pouch), dengan kadar keuntungan kompetitif sehingga 2.25 peratus setahun.
Sebagai platform digital sepenuhnya, ATLAS membolehkan pelanggan membuka dan mengurus akaun pada bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa kebergantungan kepada cawangan fizikal.
Selain fungsi perbankan teras, platform ini turut menyokong keperluan gaya hidup pengguna secara holistik, khususnya dalam kalangan pengguna muslim, melalui ciri-ciri bersepadu seperti waktu solat, doa harian, akses Al-Quran, arah kiblat dan pencari lokasi masjid. – UTUSAN










