BEIRUT: Presiden Lubnan, Joseph Aoun pada Rabu menyatakan Israel perlu melaksanakan sepenuhnya gencatan senjata antara kedua-dua negara sebelum rundingan secara langsung dimulakan, selepas serangan rejim mengorbankan lebih 20 nyawa dalam tempoh dua hari lalu.
Hizbollah mengheret Lubnan ke dalam perang Asia Barat pada 2 Mac lalu, dan wakil Israel serta kerajaan Aoun sejak itu bertemu dua kali di Washington, yang merupakan pertemuan pertama seumpamanya dalam tempoh beberapa dekad.
Bagaimanapun, perbincangan itu ditolak oleh kumpulan Hizbollah.
Selepas rundingan pertama, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan gencatan senjata selama 10 hari yang bermula 17 April, sebelum dilanjutkan kepada tiga minggu lagi pada pusingan kedua.
Dalam kenyataan yang dikongsi pihak presiden, Aoun berkata, Israel mesti terlebih dahulu melaksanakan sepenuhnya gencatan senjata sebelum beralih kepada rundingan dan menyatakan serangan rejim tidak boleh terus berlaku seperti sekarang.
“Kami kini menunggu AS menetapkan tarikh bagi memulakan rundingan secara langsung dengan Israel,” katanya.
Israel berulang kali mengebom Lubnan, khususnya kawasan selatan, meskipun gencatan senjata masih berkuat kuasa, selain melaksanakan operasi perobohan kampung di kawasan sempadan dalam lingkungan ‘Garisan Kuning’ yang diwujudkannya di selatan Lubnan.
Israel pada Rabu berkata, pihaknya menyerang kira-kira 20 pusat arahan dan struktur ketenteraan yang digunakan Hizbollah.
Ketua Tentera Israel, Eyal Zamir berikrar untuk meneruskan serangan terhadap sebarang ancaman yang menyasarkan pasukannya, termasuk di luar Garisan Kuning dan ke utara Sungai Litani, merujuk sungai yang terletak kira-kira 30 kilometer (km) di utara Israel.
Dalam kenyataan tentera yang dikongsi selepas lawatannya dengan pasukan Israel di selatan Lubnan, Zamir mendakwa mereka mungkin perlu kekal di beberapa kedudukan tertentu di negara itu.
Agensi berita National News Agency Lubnan turut melaporkan beberapa siri serangan Israel ke atas negara itu.- AFP










