Harga MSM berpotensi cecah RM4,800 satu tan - Utusan Malaysia

Harga MSM berpotensi cecah RM4,800 satu tan

RHB Investment Bank kekal ‘neutral’ dengan prospek sektor perladangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) dijangka meneruskan momentum kenaikan dengan potensi untuk mencecah paras RM4,800 satu tan susulan aktiviti belian yang semakin kukuh dalam pasaran.

Komoditi tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak RM42 pada sesi dagangan Rabu untuk ditutup pada paras RM4,578 satu tan, mencerminkan pemulihan minat belian selepas tekanan jualan sebelum ini.

Penganalisis RHB Research, Aiman Kamil Ahmad Shauqiberkata, FCPO dibuka lebih rendah pada RM4,527 sebelum susut ke paras terendah intrahari RM4,491, namun kembali meningkat untuk mencecah paras tertinggi RM4,583 sebelum ditutup kukuh.

“Pembentukan corak lilin menaik dalam carta harian memberi isyarat jelas bahawa sentimen pasaran kembali positif,” katanya dalam nota penyelidikan.

Penunjuk Indeks Kekuatan Relatif (RSI) yang kembali bergerak ke atas turut menunjukkan momentum kini kembali menyebelahi pedagang yang menjangkakan kenaikan harga dalam tempoh terdekat.

Selain itu, struktur teknikal keseluruhan kekal menyokong aliran menaik apabila garisan purata bergerak mudah (SMA) 50 hari dan 200 hari terus menunjukkan trend peningkatan.

Dalam pada itu, RHB Research mengekalkan saranan pegangan belian terhadap FCPO, dengan jangkaan harga berpotensi menembusi paras rintangan RM4,680 dalam masa terdekat.

“Hal ini patut menyambung trajektori kenaikan untuk menguji paras RM4,800 satu tan,” katanya. 

Namun begitu, firma tersebut berkata, prospek positif ini bergantung kepada keupayaan harga untuk kekal di atas paras sokongan penting pada RM4,400, yang jika ditembusi boleh menandakan berubahan arah aliran pasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN