KUALA LUMPUR: ASEAN perlu meneroka potensi kerjasama yang lebih erat antara Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi mendepani tekanan global yang semakin kompleks.
Pengerusi Penyelidikan dan Advokasi CARI ASEAN, Tan Sri Dr. Munir Majid berkata, walaupun Malaysia merekodkan beberapa pencapaian semasa memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun lalu, namun usaha tersebut masih belum memadai berikutan perubahan landskap ekonomi dan geopolitik dunia yang pantas.
Katanya, negara anggota kedua-dua blok perdagangan tersebut mempunyai keupayaan untuk bergerak seiring tanpa perlu digabungkan secara sepenuhnya, dengan mengambil kira perbezaan kepentingan serta kedudukan geopolitik setiap negara.
“Salah satu bidang kerjasama utama yang boleh diteroka adalah penyelarasan peraturan asal usul yang berpotensi memudahkan aliran perdagangan merentasi kedua-dua blok berkenaan.
“Ini bermaksud sekiranya 30 peratus sesuatu produk dihasilkan di negara tertentu, ia boleh menembusi pasaran anggota RCEP dan pendekatan sama boleh diperluaskan kepada CPTPP,” katanya kepada pemberita pada Forum Kepimpinan dan Perkongsian ASEAN (ALPF) 2026 bertajuk “Menavigasi ASEAN dalam Era Geopolitik Baharu: Menjaga Kepusatan, Menjaga Kemakmuran, Memperkasakan Rakyat” di sini, hari ini.
Turut hadir bekas Yang Dipertua Negeri (YDP) Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Mengulas lanjut, Munir berkata, pendekatan berkenaan turut membuka ruang kepada penyertaan negara lain seperti Peru dan United Kingdom yang kini merupakan anggota CPTPP tetapi tidak menyertai RCEP.
Menurut beliau, perkembangan itu secara tidak langsung mampu memperluas kerangka kerjasama sedia ada seperti ASEAN+1, ASEAN+3 dan ASEAN+RCEP, sekali gus memperkukuh integrasi ekonomi di rantau ini.
Beliau turut mengimbas kembali sejarah RCEP yang pada asalnya merupakan inisiatif ASEAN yang dicetuskan pada 2012 ketika Kemboja menjadi Pengerusi ASEAN, sebelum berjaya direalisasikan sepenuhnya sedekad kemudian pada 2022.
“Walaupun mengambil masa yang panjang, ia akhirnya menjadi kenyataan dan membuktikan keupayaan ASEAN dalam memacu kerjasama ekonomi berskala besar.
“Justeru, ASEAN perlu memanfaatkan kedudukannya dalam kedua-dua perjanjian utama tersebut bagi membentuk jaringan ekonomi global baharu yang lebih inklusif serta berdaya tahan,” katanya.
Langkah strategik itu disifatkan penting bagi memastikan ASEAN kekal relevan serta mampu memainkan peranan yang lebih signifikan dalam menentukan hala tuju ekonomi dunia pada masa hadapan. – UTUSAN










