SUNGAI PETANI: Sebuah kilang memproses sisa plastik dipercayai beroperasi sejak 2021 tanpa kelulusan pihak berkuasa telah diserbu polis bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam Operasi Bersepadu Intra/Inter Agensi dikenali sebagai Op Taring Alpha 5, semalam.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, serbuan membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 50-an yang juga pemilik premis tersebut.
Katanya, premis yang tidak pernah diserbu sepanjang perniagaan dijalankan itu dengan fasiliti terdapat di dalam premis itu digunakan untuk memproses sisa plastik.
Bijian plastik siap diproses akan dihantar ke kilang di sekitar Kedah dan Pulau Pinang untuk dijadikan produk lain.
“Sumber bekalan bahan mentah plastik dan sisa plastik diperolehi dari kawasan perindustrian yang terletak di kedua-dua negeri berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Pelbagai mesin, jentera dan peralatan memproses plastik dirampas dalam serbuan itu selain 200 tan beg jumbo berisi pelbagai plastik belum siap diproses yang keseluruhannya bernilai RM8.6 juta.
Katanya, kes diserahkan kepada JAS Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Denda tambahan RM1,000 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disampaikan kepadanya suatu notis yang diberi oleh Ketua Pengarah mengkehendakinya mematuhi tindakan yang dinyatakan di dalam notis itu.
“Pihak Majlis Perbandaran Sungai Petani turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM1,000 kepada pemilik premis di bawah Akta 171 Undang-Undang Kecil Perlesenan Premis Tred Perniagaan dan Perindustrian,” katanya.
Balveer Singh berkata, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pemprosesan plastik tanpa kelulusan sah kerana ia boleh mendatangkan risiko serius terhadap alam sekitar dan keselamatan awam. – UTUSAN










