ASEAN percepat pelaksanaan grid tenaga, saluran paip gas serantau - Utusan Malaysia

ASEAN percepat pelaksanaan grid tenaga, saluran paip gas serantau

FADILLAH Yusof (tiga dari kiri) bersama Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Laurence Si (tiga dari kanan) semasa Sidang Kemuncak Kepimpinan AI Microsoft.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN mempercepatkan pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN (APG) dan rangkaian saluran paip gas serantau (TAGP) bagi memperkukuh keselamatan tenaga di rantau Asia Tenggara susulan ketidaktentuan pasaran tenaga global ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (Khas AMEM) mengenai situasi terkini di Timur Tengah yang diadakan pada 27 April 2026.

Menurutnya, ia turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perdagangan tenaga rentas sempadan, kepelbagaian sumber bekalan tenaga dan mekanisme tindak balas kecemasan serantau.

“Dalam mesyuarat tersebut, Menteri-Menteri Tenaga ASEAN bersetuju untuk mempercepatkan pelaksanaan semua perkara yang telah dipersetujui, termasuk pengoperasian ASEAN Petroleum Security Agreement (APSA) dan Coordinated Emergency Response Mechanism (CERM).

“Antara keutamaan utama ialah memperkukuh (APG), TAGP serta usaha meningkatkan perkongsian maklumat, kesiapsiagaan kecemasan dan keselamatan bekalan tenaga dalam kalangan negara anggota ASEAN,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Kepimpinan AI Microsoft, di sini semalam.

Beliau berkata, APG kekal sebagai agenda utama ASEAN memandangkan ia berperanan penting dalam memperkukuh integrasi tenaga serantau, meningkatkan kestabilan bekalan elektrik serta menyokong integrasi tenaga boleh baharu di rantau ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, ASEAN kini memberi tumpuan kepada memperincikan mekanisme pelaksanaan termasuk aspek teknikal, kawal selia, pembiayaan dan koordinasi kecemasan tenaga serantau.

“Harapnya menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) yang dijadualkan berlangsung pada September 2026 serta Mesyuarat Pemimpin ASEAN pada penghujung tahun ini, kemajuan lebih konkrit dapat dicapai bagi merealisasikan objektif tersebut,” katanya.

Menurut beliau, pembiayaan bagi pelaksanaan APG terus mendapat sokongan institusi kewangan antarabangsa seperti World Bank dan Asian Development Bank, selain menarik minat pelabur swasta dan rakan pembangunan antarabangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan terus memperkukuh sistem grid negara termasuk melalui pembangunan grid pintar dan digitalisasi rangkaian bagi menyokong peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu dan keperluan pusat data berintensiti tinggi.

“Malaysia juga terus mempercepatkan agenda tenaga boleh baharu menerusi pelaksanaan Program Solar Berskala Besar (LSS), termasuk pelaksanaan projek-projek di bawah LSS5 yang sedang berjalan serta persiapan pelaksanaan LSS6.

“Dalam masa yang sama, Kerajaan turut memberi penekanan kepada pembangunan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) sebagai salah satu komponen penting dalam menyokong kestabilan dan fleksibiliti grid elektrik negara sejajar dengan peningkatan variable renewable energy,” katanya.

Sebelum ini, TNB mengumumkan pembangunan projek BESS di Kerteh bagi memperkukuh kestabilan bekalan elektrik dan meningkatkan keupayaan integrasi tenaga boleh baharu dalam grid nasional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN