Kelas sosioekonomi baharu ganti B40-T20 - Utusan Malaysia

Kelas sosioekonomi baharu ganti B40-T20

AKMAL Nasrullah Mohd. Nasir berucap menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di Menara Prisma, Putrajaya semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kedudukan sosio­ekonomi rakyat Malaysia bakal ditentu berasaskan prinsip pen­dapatan boleh guna bersih, selepas ditolak komitmen utama bagi menggantikan pengelasan B40, M40 dan T20 sedia ada.

Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) akan menjadi mekanisme baharu lebih menyeluruh dan tepat, khususnya dalam penentuan ke­layakan penyaluran subsidi serta bantuan kerajaan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nas­rullah Mohd. Nasir berkata, PAKW memberi gambaran sebenar sesebuah isi rumah ke­rana penilaian tidak lagi tertumpu kepada pendapatan ka­sar semata-mata.

Beliau berkata, perkara itu masih di peringkat perbinca­ngan dan dilihat penting untuk mendepani tekanan kos sara hi­dup serta ketidaktentuan eko­nomi global.

“Penilaian sebaliknya akan mengambil kira komitmen per­belanjaan asas, jumlah tanggungan, lokasi tempat tinggal serta kos kehidupan yang ditanggung keluarga.

“Perbincangan itu dibuat susulan wujud pandangan semakin meluas bahawa pengelasan sedia ada seperti B40, M40 dan T20 tidak lagi mencerminkan secara tepat realiti kehidupan sebahagian rakyat.

“Kita melihat ada keperluan supaya penilaian terhadap kemampuan hidup rakyat tidak dibuat hanya bersandarkan pendapatan semata-mata,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di sini, semalam.

Akmal Nasrullah berkata, setiap isi rumah mempunyai struktur perbelanjaan berbeza, walaupun menerima pendapatan sama.

Katanya, penilaian satu kelompok pendapatan akan mewujudkan jurang tafsiran terhadap tahap sebenar kemampuan hidup rakyat.

“PAKW tidak ada kategori tetap kerana setiap isi rumah berbeza daripada segi komposisi keluarga, lokasi kediaman, jumlah anak serta tanggungan yang perlu ditanggung.

“Sebab itu, dua keluarga yang mempunyai gaji sama mungkin berdepan beban kehidupan yang berbeza,” kata­nya.

Jelasnya, penelitian terhadap PAKW masih di peringkat perbincangan dalaman kementerian dan bukannya keputusan dasar kerajaan.

Katanya, sebarang perubahan berkaitan kaedah penilaian sosioekonomi rakyat termasuk sama ada melibatkan klasifikasi B40, M40 atau T20 perlu melalui pertimbangan bersama di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Jemaah Menteri.

Akmal Nasrullah berkata, data daripada sistem Pangkalan Data Utama (PADU) turut digunakan sebagai input tambahan bagi membantu simulasi dan penilaian berkaitan kemam­puan hidup rakyat secara lebih komprehensif.

Katanya, langkah itu penting terutama jika ketidaktentuan ekonomi global terus berlarutan, supaya sebarang dasar yang dirangka tidak membebankan kumpulan isi rumah yang benar-benar terkesan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kementerian Ekonomi dalam usaha memperkukuh struktur ekonomi negara termasuk mempercepat peralihan tenaga dan memperkasakan industri ber­nilai tinggi, sebagai langkah mendepani cabaran krisis bekalan global.

Katanya, pihaknya mengikuti rapat isu berkaitan dan setiap keputusan strategik akan diketengahkan menerusi mesyua­rat MTEN yang berlansung setiap minggu.

“Apa-apa perkara yang memerlukan dasar serta persetujuan bersama akan dibawa ke Kabinet untuk dibentangkan sebelum mendapat kelulusan.

“Dalam situasi krisis, negara tidak seharusnya hanya memberi fokus kepada pengurusan jangka pendek, sebaliknya perlu melihat ruang untuk menambah baik struktur ekonomi agar lebih mampan dan berdaya tahan.

“Antara keutamaan yang diberi perhatian ialah pengurusan ke arah peralihan tenaga, termasuk perkembangan dalam penggunaan biodiesel serta usaha memperluas ke­upayaan penggunaan sumber tenaga boleh baharu yang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN