MIAMI: Masa depan pemain tengah Brazil, Casemiro bersama Manchester United dilihat sudah ke penghujung apabila dilaporkan pemain itu sudah mencapai persetujuan peribadi untuk menyertai Inter Miami dalam saingan Major League Soccer (MLS).
Bagaimanapun, perpindahan Casemiro masih belum dimuktamadkan apabila LA Galaxy dilaporkan memegang hak penemuan pemain berkenaan dalam MLS, sekali gus memerlukan rundingan lanjut dilakukan antara kedua-dua kelab.
Menurut laporan media antarabangsa, Casemiro yang kini berusia 34 tahun dikatakan berminat untuk memulakan cabaran baharu bersama kelab milik David Beckham itu dan sanggup menyesuaikan tuntutan gajinya agar selari dengan struktur kewangan serta peraturan liga Amerika Syarikat berkenaan.
Faktor kehidupan di Miami selain peluang bergandingan dengan kapten Argentina, Lionel Messi dilaporkan menjadi antara sebab utama yang mendorong pemain tengah berkenaan mempertimbangkan perpindahan tersebut.
Namun, Inter Miami dijangka perlu berunding terlebih dahulu dengan LA Galaxy bagi mendapatkan hak menandatangani pemain itu, termasuk kemungkinan membayar pampasan tertentu sebelum urusan perpindahan dapat dimeterai.
Perkembangan berkenaan dikatakan kurang disenangi beberapa kelab MLS lain yang melihat Inter Miami sekali lagi menggunakan pengaruh komersial serta kekuatan jenama mereka untuk menarik pemain bertaraf dunia ke Florida.
Ketika ini, skuad kendalian Inter Miami dilaporkan tidak mempunyai slot pemain bagi menempatkan Casemiro, dengan kontrak awal pemain itu dijangka bernilai sekitar AS$1.8 juta (RM8.6 juta) bagi musim pertama.
Situasi itu bermakna perpindahan hanya mampu direalisasikan sekiranya beberapa pemain utama seperti Lionel Messi, Rodrigo De Paul atau German Berterame meninggalkan kelab terlebih dahulu bagi membuka ruang dalam struktur gaji pasukan.
Sebelum ini, Casemiro mengumumkan bakal meninggalkan Manchester United pada Januari lalu selepas kembali menemui prestasi terbaik di bawah pengendali baharu, Michael Carrick, manakala United pula dijangka melakukan rombakan besar-besaran di bahagian tengah menjelang musim baharu. – AGENSI/UTUSAN








