LONDON: Arsenal bersedia menawarkan kontrak baharu yang lumayan kepada , Mikel Arteta susulan kejayaan pengendali dari Sepanyol itu menamatkan kemarau penantian selama 22 tahun The Gunners untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kejayaan mengembalikan Arsenal ke puncak bola sepak England dilihat menjadi faktor utama pihak pengurusan mahu mengekalkan Arteta lebih lama, meskipun kontrak semasanya hanya akan berakhir pada penghujung musim depan.
Sebelum ini, rundingan mengenai pembaharuan kontrak pengendali berusia 44 tahun itu difahamkan ditangguhkan sehingga Arsenal menamatkan kempen musim ini, namun kejayaan menjuarai liga dijangka mempercepatkan proses tersebut.
Bagaimanapun, fokus utama Arteta ketika ini terarah kepada misi lebih besar apabila Arsenal bersiap sedia menghadapi final Liga Juara-Juara Eropah menentang Paris Saint-Germain (PSG) minggu depan, trofi yang masih belum pernah dimenangi kelab itu sebelum ini.
Arsenal tetap yakin untuk mengekalkan Arteta dengan nilai kontraknya ketika ini dipercayai sekitar 10 juta pound (RM53.6 juta) semusim selain bonus kira-kira lima juta pound (RM26.8 juta) kerana berjaya membawa pasukan ke saingan Liga Juara-Juara.
Namun, kejayaan menjuarai liga dilaporkan membuka ruang kepada kenaikan gaji besar buat bekas pemain tengah Arsenal itu yang berpotensi meletakkannya sebaris dengan kelompok pengurus menerima bayaran tertinggi di dunia.
Ketika ini, pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone dilaporkan sebagai antara pengurus bergaji tertinggi dunia dengan pendapatan sekitar 25.9 juta pound (RM138.8 juta) setahun.
Sementara itu, pengurus Manchester City, Pep Guardiola pula dipercayai memperoleh sekitar 20 juta pound (RM107.2 juta) setahun.
Dalam perkembangan lain, Arsenal juga dilaporkan bersedia berbelanja besar menjelang jendela perpindahan musim panas apabila berminat mendapatkan penyerang muda Bournemouth, Eli Junior Kroupi yang dikatakan bernilai sekitar 80 juta pound (RM428.8 juta), selain kelab itu sudah mengumpul pendapatan mencecah 124 juta pound (RM664.6 juta) susulan kemaraan ke final Liga Juara-Juara Eropah. – AGENSI/UTUSAN










