ZUS Coffee tawar kopi serendah RM5 menerusi inisiatif Bangun, KL! - Utusan Malaysia

ZUS Coffee tawar kopi serendah RM5 menerusi inisiatif Bangun, KL!

HANNAH Yeoh (kanan) bersama Venon Tian semasa pelancaran program tersebut di ZUS Coffee Kasturi Walk, di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ZUS Coffee dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) melancarkan inisiatif ‘Bangun, KL! Ke Arah KL Yang Lebih Sejahtera’ bagi menggalakkan warga kota memulakan perjalanan lebih awal ke pusat bandar bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Inisiatif sepanjang tahun itu menawarkan harga kopi istimewa serendah RM5 bagi pesanan yang dibuat melalui aplikasi ZUS Coffee di 250 cawangan terpilih di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula dari pukul 7 pagi hingga 8 pagi pada setiap hari bekerja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kempen itu merupakan langkah proaktif sektor swasta dalam menyokong usaha kerajaan menangani isu trafik yang melibatkan kira-kira 1.2 juta kenderaan memasuki ibu kota setiap pagi.

“Kami mahu membina persekitaran bandar yang lebih meriah dan mengutamakan rakyat. Melalui promosi ‘Masuk KL Awal’, warga kota boleh menikmati kopi seperti Americano pada harga RM5 dan Latte CEO pada RM7, iaitu potongan harga sekitar 27 hingga 30 peratus daripada harga asal.

“Ini adalah insentif untuk menghargai mereka yang bangun awal dan sudah berada di jalan raya sebelum waktu puncak. Kita mahu menjadikan bekerja dan tinggal di KL satu pengalaman yang menyeronokkan,” katanya pada majlis pelancaran program tersebut di ZUS Coffee Kasturi Walk, di sini, semalam. 

Hannah berkata, JWP sentiasa terbuka kepada mana-mana syarikat swasta dari pelbagai sektor untuk tampil memberikan insentif serupa bagi meningkatkan kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan.

“Sebelum ini kita mulakan dengan pengusaha gimnasium melalui diskaun 80 peratus dan kini sektor makanan dan minuman (F&B) pula tampil. Kami menggalakkan jenama lain untuk menghubungi pejabat wilayah bagi memudahkan kolaborasi seperti ini,” tambahnya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan ZUS Coffee, Venon Tian berkata, inisiatif yang berlangsung sehingga 31 Disember 2026 itu adalah sebahagian daripada komitmen jenama tersebut untuk menjadi ruang komuniti bagi warga kota memulakan hari dengan tenang.

“Kehidupan di bandar sangat pantas. Kami berharap melalui promosi berasaskan aplikasi ini, kami dapat mengumpul data yang berguna untuk melihat keberkesanan insentif ini dalam mengubah corak perjalanan pengguna, selain memberi ganjaran kepada mereka,” katanya.

Program ini hanya tersedia untuk pesanan melalui aplikasi ZUS Coffee bagi memudahkan pemantauan data dan memastikan ganjaran sampai kepada sasaran yang tepat. 

Senarai 250 cawangan terlibat boleh disemak melalui aplikasi dan laman sosial rasmi ZUS Coffee. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN