Ringgit mengekalkan momentum ketika sentimen global tidak menentu - Utusan Malaysia

Ringgit mengekalkan momentum ketika sentimen global tidak menentu

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit mengekalkan momentum pengukuhan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) meskipun pasaran global didagangkan berhati-hati susulan gencatan senjata yang rapuh antara AS dan Iran.

Pada pukul 5 petang semalam, ringgit mengukuh kepada 3.9670/3.9720 berbanding dolar AS, daripada 3.9840/3.9880 ketika ditutup pada Khamis.

Mata wang tempatan telah didagangkan di bawah RM4 sejak 26 Januari lalu, namun jatuh semula melebihi paras psikologi tersebut pada 27 Mac berikutan ketidaktentuan pasaran akibat konflik Asia Barat yang berlarutan.

Sementara itu, harga minyak mentah Brent juga naik sedikit namun kekal di bawah AS$100 (RM397.05) setong iaitu pada AS$98.16 (RM389.75), manakala West Texas Intermediate (WTI) AS$100.39 (RM398.60) setong pada lewat petang semalam.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, pengukuhan ringgit didorong terutamanya oleh pelarasan semula sentimen global, khususnya kelemahan dolar AS serta peralihan sementara kepada mod risk-on susulan pengurangan premium risiko geopolitik.

Menurutnya, apabila ketidaktentuan global mereda walaupun secara sementara, aliran modal cenderung kembali ke pasaran sedang pesat membangun, sekali gus menyokong mata wang seperti ringgit.

“Namun begitu, pengukuhan ini bukan semata-mata bersifat sentimen. Ia turut disokong oleh asas domestik yang relatif stabil, termasuk lebihan akaun semasa, struktur eksport yang pelbagai serta kedudukan rizab antarabangsa yang mencukupi.

“Dalam erti kata lain, faktor luaran bertindak sebagai pencetus, manakala asas domestik berfungsi sebagai penstabil kepada pergerakan ringgit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, kemampanan paras ini masih bergantung kepada kesinambungan faktor luaran, khususnya hala tuju dasar monetari global dan perkembangan geopolitik.

“Tanpa pengesahan bahawa gencatan adalah berkekalan, pengukuhan ini berkemungkinan besar kekal bersifat taktikal.

“Untuk dua minggu ini, pasaran memerlukan pengesahan yang lebih jelas daripada kedua-dua pihak iaitu AS dan Iran, bahawa gencatan senjata ini benar-benar menuju ke arah penyelesaian yang lebih berkekalan,” jelasnya.

Sementara itu, Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, dalam tempoh dua minggu gencatan senjata ini, pasaran dijangka menjadi lebih stabil berbanding sebelum ini tetapi masih tidak menentu.

Katanya, harga minyak mungkin kekal dan lebih rendah jika bekalan berjalan lancar, namun boleh meningkat semula dengan cepat sekiranya terdapat gangguan atau kegagalan dalam gencatan senjata.

“Oleh itu, kestabilan yang wujud adalah bersifat sementara dan bergantung kepada perkembangan geopolitik semasa. Pelabur perlu memberi perhatian kepada beberapa indikator utama.

“Antaranya adalah pergerakan harga minyak mentah global, tahap keselamatan dan kelancaran laluan perdagangan di Selat Hormuz, kenyataan rasmi dan perkembangan diplomatik antara negara terlibat

“Ia turut merangkumi prestasi sektor dalam pasaran saham tempatan, terutamanya sektor perbankan dan tenaga serta pergerakan mata wang serantau dan tahap ketidaktentuan pasaran,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN