Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.6 peratus pada 2026 - Utusan Malaysia

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.6 peratus pada 2026

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak 4.6 peratus pada 2026 sebelum meningkat sedikit kepada 4.7 peratus pada 2027, menurut laporan terkini Prospek Pembangunan Asia oleh Bank Pembangunan Asian (ADB).

Unjuran itu lebih baik berbanding ramalan sebelumnya pada Disember sebanyak 4.3 peratus mencerminkan asas ekonomi yang masih kukuh walaupun berdepan cabaran luaran dan kesan tertunda daripada pembaharuan dasar fiskal.

Menurut ADB, kesan tertunda reformasi cukai dan langkah perdagangan yang lebih ketat yang diperkenalkan pada 2025 dijangka memberi tekanan kepada pertumbuhan dalam jangka pendek. 

Namun, pelaksanaan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dijangka menyokong pemulihan ekonomi menjelang 2027.

Unjuran ADB adalah sejajar dengan jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Dunia serta Kementerian Kewangan. 

BNM mengunjurkan pertumbuhan antara 4 peratus hingga 5 peratus manakala kerajaan menjangkakan 4.0 peratus hingga 4.5 peratus.

Bank Dunia pula baru-baru ini menaikkan unjuran kepada 4.4 peratus.

ADB berkata, pertumbuhan akan disokong oleh pelaburan besar berjumlah RM611 bilion namun risiko penurunan kekal ketara sekiranya konflik berpanjangan di Asia Barat berlaku.

Sementara itu, inflasi dijangka kekal terkawal berikutan kesan pemindahan daripada reformasi dasar fiskal yang setakat ini masih dapat dibendung.

“Namun, terdapat sedikit tekanan kenaikan harga berpunca daripada pelarasan tarif serta kesan tertunda daripada kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST). 

“Selain itu, peningkatan harga minyak berpotensi menaikkan kos pengeluaran dan seterusnya mendorong harga barangan lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, ADB berkata, ringgit pula dijangka mengukuh, dengan purata melebihi RM4 berbanding dolar AS, mencerminkan keyakinan yang lebih kukuh terhadap ekonomi domestik dan iklim pelaburan. 

“Ringgit yang lebih kukuh boleh mengurangkan kos import bagi sektor berorientasikan domestik, namun mungkin memberi cabaran kepada industri eksport yang menjana pendapatan dalam dolar AS.

“Faktor luaran kekal sebagai risiko penurunan utama, memandangkan ketegangan geopolitik dan perubahan dasar perdagangan berpotensi mengganggu aliran perdagangan global serta melemahkan permintaan. 

“Prospek pertumbuhan juga boleh terjejas sekiranya rakan dagang utama mencatat pertumbuhan lebih perlahan daripada jangkaan,” katanya.

Selain itu, konflik di Asia Barat pula memberi kesan bercampur, harga minyak yang lebih tinggi boleh menyokong eksport komoditi minyak Malaysia, namun harga yang kekal tinggi berisiko meningkatkan kos serta menekan penggunaan dan pengeluaran.

Eksport dijangka berdepan cabaran akibat perkembangan global, walaupun sektor teknologi berpotensi mendapat manfaat daripada pemulihan menyeluruh dalam kecerdasan buatan (AI), automotif, industri dan elektronik pengguna, dengan jualan semikonduktor global diunjurkan meningkat 26 peratus pada 2026. 

Namun, pertumbuhan eksport elektrik dan elektronik mungkin terhad susulan tarif 25 peratus Amerika Syarikat ke atas cip AI yang diperkenalkan pada Januari.

Dari sudut perniagaan, prospek kekal berhati-hati optimistik apabila keadaan semakin stabil selepas ketidaktentuan pada pertengahan 2025, dengan firma melaporkan peningkatan semula pengeluaran serta kos yang lebih terkawal berdasarkan Tinjauan Kecenderungan Perniagaan suku pertama 2026.

Penggunaan domestik dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan pekerjaan dan pendapatan, pelarasan gaji penjawat awam, serta bantuan sosial antara RM50 hingga RM200 kepada penerima yang layak. 

Namun, kenaikan harga akibat kesan tertunda SST yang diperluas boleh mengekang perbelanjaan bukan keperluan, manakala beban subsidi bahan api yang meningkat telah menyebabkan pengurangan kuota subsidi bulanan daripada 300 kepada 200 liter bagi setiap individu. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN